Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Sorotan Getaran 2021: Perginya Bintang-Bintang Hebat Ini Meninggalkan Legasi  

Sumbangan tidak ternilai mereka dalam medium seni yang diceburi memberi impak besar kepada rakyat Malaysia.

Selebriti Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Dec 2021 11:05AM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tatkala industri hiburan masih lagi dihimpit permasalahan COVID-19 yang tidak berkesudahan, kita telah kehilangan ramai anak seni hebat dalam dunia penyiaran radio, seni suara, perfileman, teater mahupun komedi.  

Bintang-bintang ini telah memberikan sumbangan tidak ternilai dalam medium seni yang dikuasai mereka serta memberikan impak besar dalam kehidupan kita semua yang selama ini membesar dan mengikuti kembara seni mereka. 

Ikuti Sorotan Getaran 2021 tentang seniman-seniman ini yang ada antaranya meninggalkan kita selepas bertarung melawan COVID-19, menghidap penyakit termasuk sakit jantung, lelah dan sakit tua. 

Gmie Screen (10 Disember 2021) 

Penyanyi dan vokalis kumpulan Screen, Hajmi Ibrahim atau Gmie telah menghembuskan nafas terakhirnynya pada 10 Disember lalu akibat penyakit buah pinggang berlubang. 

Bekas peserta program realiti Gegar Vaganza Musim 3 yang sudah dua tahun menderita sakit buah pinggang berlubang ini meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kira-kira jam 2.30 pagi. 

Sepanjang penglibatannya bersama Screen sejak 1996, Gmie telah membantu mempopularkan lagu-lagu hits band muzik yang berasal dari Klang, Selangor itu. Antaranya 'Tak Suka Tak Apa', 'Bila Cinta Didusta' dan 'Kita Ditakdirkan Berpisah'. 

Mamat Khalid (24 Oktober 2021) 

Industri perfileman tempatan dikejutkan dengan pemergian sutradara tersohor, Mamat Khalid yang tidak dijangka. Beliau dilaporkan rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Pemergian Mamat Khalid ditangisi ramai rakan industri dan orang kenamaan. Sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman, Mamat Khalid telah menghasilkan banyak filem yang meninggalkan kesan kepada penonton. 

Antaranya 'Kala Malam Bulan Mengambang', 'Man Laksa', 'Rock', 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah'. Bahkan, beliau turut mempopularkan penjenamaan Kampung Pisang kepada siri dan telefilem. 

Mazlan Tahir (21 Oktober 2021) 

Pemergian aktivis teater berkaliber, Mazlan Tahir, 56 mengejutkan warga dunia teater Melayu tempatan. Mazlan yang sebelum ini menghidap pelbagai penyakit meninggal dunia akibat serangan jantung, kira-kira jam 10.30 pagi,pada 21 Oktober lalu. 

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Umi Kalsom Ahmad, sewaktu dalam usaha mendapatkan rawatan mengurut secara tradisional di Sepang, Selangor.

Sepanjang beberapa dekad bergiat aktif dalam dunia teater, anak kelahiran Kuala Kubu Baru, Selangor ini telah membintangi Lantai T Pinkie, Muzikal Mahathir, Muzikal Uda & Dara, Ibu Zain serta Anugerah Sirah Junjungan

Manakala, teater arahannya pula adalah Muzikal Selendang Jiwa, Bangsawan Alang Buana dan terbaharu Teater Muzikal Destini Anak Bangsa.

Mimi Loma (21 Ogos 2021) 

Seniwati veteran, Siti Aminah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mimi Loma meninggal dunia di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, kira-kira jam 2.20 pagi pada 21 Ogos lalu.

Menempa populariti pada era 60-an, seniwati ini dilaporkan menghembuskan nafas terakhir dalam tidur selepas beberapa hari dalam keadaan lemah dan kurang selera makan akibat cirit-birit. 

Allahyarham yang pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968, meninggalkan seorang anak dan tiga cucu. Beliau juga merupakan adik kepada Biduanita Negara Allahyarham Puan Sri Saloma dan seniwati Mariani Ismail. 

Siti Sarah Raisuddin (9 Ogos 2021) 

Pemergian Siti Sarah Raisuddin mendapat liputan media seluruh dunia. Penyanyi genit ini meninggal dunia dalam keadaan yang memilukan pada saat sedang bertarung nyawa akibat COVID-19 dan pada masa sama sarat hamil cahaya mata keempat. 

Biarpun sempat melahirkan zuriat keempatnya yang dinamakan Ayash Affan dalam kondisi ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) pada 6 Ogos lalu, Siti Sarah masih berada dalam keadaan kritikal. 

Selepas beberapa hari bergantung dengan oksigen, Siti Sarah gagal diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos lalu. 

Sepanjang bergelar penyanyi, Siti Sarah telah menghasilkan tiga album iaitu Sarah (2002), Mimpi Pun Sama (2003) dan Tiada Dikau Tiada Makna (2005).

Datuk Baharuddin Omar atau Anjang Aki (24 Julai 2021) 

Pelakon veteran Datuk Baharuddin Omar yang popular dengan wataknya dalam drama Anjang Aki meninggal dunia akibat pembuluh darah bengkak pada 24 Julai lalu. 

Popular dengan wataknya sebagai Anjang Aki dalam drama siri tajuk serupa pada era 80-an sehingga nama itu melekat dengannya, Allahyarham juga banyak meninggalkan lakonan yang mengesankan dalam drama 'Tanah Pusaka' (1967), 'Perajurit Pulang' (1998) dan 'Bangsawan' (2001).

Semasa hayatnya, arwah pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Seniman Malaysia (SENIMAN) kedua selama tiga penggal dari 1978 hingga 1984. Banyak jasa dan sumbangan  arwah semasa menjadi presiden.

Pak Tawil (23 Julai 2021) 

Pelakon dan pelawak veteran, Tawil atau nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad, 67, yang terkenal dengan filem Prebet Lapok menghembuskan nafas terakhir pada 23 Julai, kira-kira jam 2.15 pagi.

Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di kediamannya di PPR Seri Aman, Kepong, Kuala Lumpur di sisi isteri dan anak-anak. 

Tawil adalah generasi kedua artis komedi tanah air pada era 70-an hingga 80-an sebaris dengan pelakon A.R. Badul, R. Jaafar, Hamid Gurkha, Mr. Os dan Param. 

Selain Prebet Lapok, beliau turut membintangi filem Setinggan, Darah Satria, Da Di Du, Serampang Tiga Mata serta Penyamun Tarbus.

Benjy (11 Julai 2021) 

Pelakon dan anak kepada Allahyarham seniwati Azean Irdawaty, Benjy Ibrahim dilaporkan meninggal dunia akibat sesak nafas yang berpunca daripada penyakit asma kronik pada 11 Julai lalu. 

Sebelum itu, beliau telah dikejarkan ke Hospital Royal Prima Medan, Indonesia tetapi tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi. 

Benjy telah menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta selepas beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan apabila dipercayai memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram dan dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun 8 bulan. 

Sepanjang bergelar anak seni, Benjy telah diklasifikasikan sebagai antara aktor hebat tanah air dan telah membintangi banyak drama termasuklah 'Astana Idaman', 'Orang Gaji 41', 'Kasih Suci', 'Kerana Cintaku Saerah', 'Kifarah' dan 'What If.'

Menerusi watak Sudin dalam drama 'Orang Gaji 41', Benjy dinobatkan sebagai pelakon Lelaki Terbaik untuk kategori drama/telefilem di Anugerah Skrin TV3.

Tony Alberto Iskandar (30 Jun 2021) 

Pemain bass kumpulan Spider ini ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sambil duduk terbaring di atas sofa di studio Luncai Emas pada 30 Julai lalu. Unit forensik kemudian mengesahkan dia telah meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi dan jenazahnya telah dibawah ke Hospital Sungai Buloh. 

Tony meninggal dunia sebelum sempat Spider merancang mengadakan persembahan berskala kecil bagi meraikan perjalanan kerjaya muzik mereka yang ke-25 tahundalam industri muzik Malaysia.

Sepanjang 25 tahun menjadi artis rakaman, Tony telah membantu kumpulan pop rock ska ini menghasilkan album studio Ngam Ho (1999), Aladin (2002), Nazraku (2004), Bintang 12 (2007), Kita Satu (2010) dan Ankabut (2016).

Ramasundran Rengan (26 Mei 2021) 

Pelakon dan pelawak veteran, Ramasundran Rengan yang terkenal dengan watak Rajoo dalam sitkom 'Spanar Jaya' telah meninggal dunia pada usia 57 tahun pada 26 Mei lalu. 

Mendiang Ramasundran atau lebih dikenali sebagai Rama meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 pagi selepas mengalami sesak nafas. 

Sebelum itu, beliau dimasukkan ke hospital tersebut akibat bengkak kaki. Beliau juga pernah mempunyai masalah jantung. 

Abu Bakar Omar (16 April 2021)

Pelakon drama berkaliber, Abu Bakar Omar telah disahkan meninggal dunia pada usia 73 tahun di Kedah Medical Centre pada 16 Julai lalu kira-kira jam 9.04 pagi. 

Beliau dimasukkan ke hospital tersebut selepas mengadu kepenatan, namun tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. 

Popular pada era 80-an dan 90-an, Abu Bakar Omar mendapat banyak pencalonan dan memenangi anugerah bersandarkan kehebatan lakonannya di skin TV mahupun layar perak. 

Antara anugerah yang pernah dimenanginya adalah Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Sri Angkasa 1983 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio), Anugerah Sri Angkasa 1990. 

Subarman Mohtaruddin atau Subi (13 April 2021) 

Bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subarma Mohtaruddin dilaporkan meninggal dunia selepas azan Zohor di Hospital Serdang pada 13 April lalu bersamaan dengan 1 Ramadan.  

Subarma atau lebih dikenali sebagai Subi meninggal dunia selepas sehari menjalani pembedahan buang usus. Sebelum itu, dia dilaporkan mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017 serta beberapa komplikasi lain. 

Setelah menamatkan kontrak perkhidmatan dengan Suria FM pada penghujung 2017, Subi telah mengendalikan radio Internet dan sistem karaoke sendiri.

Noryati Taib (7 April 2021) 

Pelakon drama Noryati Taib yang terkenal dengan panggilan ‘Makcik Petir’ meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada 7 April lalu, jam 1.45 pagi. 

Pada awal Februari lalu, Noryati telah disahkan positif COVID-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, Pasir Gudang. 

Noryati yang menghidap penyakit kencing manis banyak berlakon dalam drama Melayu tempatan dan cukup dikenali menerusi drama 'Sindarela', 'SyurgaMu Ramadan,' 'Dotty' serta 'Tari Tirana’. 

Datuk Jamali Shadat (3 Februari 2021) 

Pelawak 'stand up' komedi popular, Datuk Jamali Shadat, 78, meninggal dunia pada 3 Februari lalu, kira-kira jam 8.30 pagi akibat sakit tua. 

Jamali dilaporkan amat terkesan dengan kematiannya isterinya, Lela Yaacob pada Jun 2018 sehingga mengalami kemurungan. 

Pemergian Jamali sememangnya memberi kesan kepada ramai penggiat seni khususnya dalam kalangan pelawak tempatan. 

Beliau bukan sahaja dilabel bapa 'stand-up comedy' di Malaysia tetapi mempunyai skil ventriloquism (kebolehan memindah percakapan atau suara pada boneka) menerusi watak Atan dan Atuk yang kedua-dua menggunakan suaranya sendiri. 

Terima kasih kerana menghiburkan kami sewaktu hayat kalian masih ada. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kalian dan buat mendiang Ramasundran, tenanglah di sana. - Getaran, 24 Disember 2021

Gambar: Fail dan Instagram

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 4 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 4 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

Semakan Gaji Penjawat Awam Adalah Wajar Untuk Hadapi Inflasi – Ahli Ekonomi

2

Tiada Daya Juang Tinggi, Rexy Kesal Dengan Pemain Perseorangan Wanita Negara

3

Sultan Nazrin Dilantik Pengerusi MKI Bagi Tempoh 2 Tahun 

4

Agong, Raja Permaisuri Zahir Penghargaan Kepada Warga Pekerja

5

AstraZeneca Akui Vaksin COVID-19, Covishield Mampu Timbulkan Masalah Darah Beku

6

Saya Perlu Dapatkan Semula Keyakinan Diri - Zii Jia

Disyorkan untuk anda

Filem & TV 1 hari yang lalu

Queen Of Tears Pecah Rekod Tontonan tvN

oleh Wartawan Getaran

Selebriti 13 jam yang lalu

Jadilah Wanita Yang 'Mahal',  Usah Bergaduh Rebut 'Buaya' - Thalia Baiduri

Pelihara maruah dan harga diri, wanita tidak perlu 'bercakaran' hanya kerana inginkan perhatian lelaki 

oleh Sophia Ahmad

Selebriti 17 jam yang lalu

Irma Hasmie, Redza Sudah Bercerai - Teman Baik

Pasangan itu disahkan bercerai enam bulan lalu dalam perkongsian di akaun Instagram Reen Emran

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Selebriti 1 hari yang lalu

Nora Danish Akui Perkahwinan Dilanda Krisis, Manakala Irma Hasmie Terus Kunci Mulut

oleh Wartawan Hiburan Getaran