KUCHING - Semangat tidak berputus asa ditunjukkan oleh pemain Kuching City FC (KCFC) menjadi kunci kepada kemenangan 2-1 mereka ke atas JDT II pada aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang petang semalam, kata jurulatih pasukan itu Irfan Bakti Abu Salim.
JDT II, yang dibarisi himpunan pemain berpengalaman, terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-17 hasil jaringan Fernando Rodriguez.
Namun Irwan Syazmin Wahab menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-59 buat pasukan tuan rumah yang terpaksa bermain perlawanan laman sendiri mereka di Johor kerana masalah logistik yang bakal dihadapi pasukan pelawat untuk ke Sarawak.
Amir Amri Salleh pula memastikan tiga mata menjadi milik KCFC selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-82.
Irfan berkata pada separuh masa pertama anak buahnya menunjukkan permainan yang kurang berkesan kerana terlalu menghormati JDT ll, menyebabkan mereka terikut-ikut rentak pasukan lawan.
“Bahagian pertahanan agak longgar, pemain banyak memberi ruang pada pemain JDT ll sehingga dibolosi gol awal.
“Pada separuh masa kedua, pemain mula meningkatkan momentum untuk mengubah perlawanan, dan didorong semangat tidak berputus asa serta perjuangan yang tinggi, kita bingkas menyamakan jaringan,” katanya kepada Getaran hari ini.
Irfan menambah, selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan anak buahnya lebih agresif menyerang.
“Kemasukan dua pemain muda Mohd Zainuddin Bohri dan penjaring gol kemenangan Amir Amri 20 minit sebelum tamat perlawanan ternyata menjadi tonik kebangkitan KCFC.
“Mereka banyak membantu memberi impak kepada bahagian tengah dan serangan sekali gus membantu gol penting kemenangan KCFC,” ujarnya.
Kemenangan keempat itu melonjakkan kedudukan KCFC ke tangga kesembilan dengan meraih 16 mata setakat ini.
KCFC akan meneruskan kempen menentang Selangor FC II di tempat sama pada Sabtu ini. - Getaran, 26 Ogos 2021

