KUALA LUMPUR - Dadah sintetik menjadi ancaman utama penyalahgunaan dadah di negara ini, apabila ia merangkumi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes ketagihan yang direkodkan, dengan negeri-negeri di Pantai Timur dikenal pasti sebagai kawasan paling terjejas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 145,526 kes melibatkan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 pada 2024.
Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada 141,817 pada 2025.
Menurut beliau, ATS merupakan dadah sintetik yang paling banyak disalahguna di Malaysia dan menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan kes penyalahgunaan dadah.
“Berdasarkan pengumpulan data dan pemetaan yang dilakukan, negeri-negeri Pantai Timur mencatatkan situasi paling membimbangkan.
“Ini menunjukkan penggunaan ganja, heroin, ketum dan morfin bukan lagi pilihan utama di kawasan tersebut. Sebaliknya, penagih kini lebih cenderung mendapatkan ATS, syabu dan methamphetamine,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menyatakan demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menyatakan jumlah kes ketagihan dadah sintetik direkodkan sejak 2023, serta langkah kerajaan dalam menangani peningkatan penggunaan bahan terlarang itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, pihak berkuasa turut mengesan kewujudan bahan fentanyl ketika menjalankan operasi terhadap cecair vape, namun menegaskan penyalahgunaannya di negara ini masih belum berada pada tahap membimbangkan.
“Ketika operasi dijalankan terhadap cecair vape, polis menemui satu lagi bahan dikenali sebagai fentanyl. Kesan bahan ini jauh lebih berbahaya, malah puluhan kali lebih kuat daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Sidang dewan diberitahu, pindaan Akta Penagih Dadah yang diluluskan pada 2025 telah memasukkan fentanyl sebagai bahan baharu di bawah Jadual Akta Dadah Berbahaya bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, tahap penyalahgunaan fentanyl masih belum serius seperti yang berlaku di beberapa negara lain ,walaupun bahan itu telah dikesan di Malaysia.
“Namun, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh aspek perundangan bagi mengekang ancaman tersebut,” katanya.
Jelas Saifuddin ,Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus mempergiat usaha pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan menerusi pelbagai program yang melibatkan komuniti, institusi pendidikan serta tempat kerja.
“Semua langkah ini adalah bagi membendung peningkatan penyalahgunaan dadah sintetik di negara ini,” katanya. - Getaran, 23 Jun 2026

