KUALA LUMPUR - Individu yang menyerahkan dokumen kewangan serta kad debit mereka kepada pihak ketiga sebagai cagaran pinjaman, boleh berdepan tindakan jenayah berat dan hukuman penjara sehingga beberapa tahun mengikut undang-undang Malaysia.
Pengamal undang-undang, Dr Mahmud Jumaat berkata, urusan pemindahan hak milik dalam perjanjian sewa beli tertakluk kepada syarat kontrak yang dipersetujui, namun memberikan akses kepada akaun bank peribadi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah dan bukannya sekadar pertikaian sivil.
Menurut beliau, ramai peminjam tidak menyedari tindakan menyerahkan kad debit sebagai jaminan pinjaman sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko pendakwaan jenayah.
"Ramai yang menganggap penyerahan kad bank hanyalah sebahagian daripada urusan pinjaman. Hakikatnya, tindakan itu boleh membawa kepada pertuduhan jenayah dan hukuman penjara,” katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau mengulas pendedahan mengenai kegiatan sindiket yang didakwa menyasarkan individu terdesak mendapatkan pinjaman, sebelum mengambil alih aset mereka melalui pelbagai kaedah meragukan.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, mereka menerima lebih 100 aduan sepanjang lima tahun lalu membabitkan aset peminjam yang didakwa dipindahkan secara tidak sah kepada pemberi pinjaman wang haram.
Menurut PPIM, sindiket berkenaan dipercayai melibatkan pelbagai pihak termasuk individu berpengaruh, penjawat awam serta pengamal undang-undang, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM50 juta.
Mengulas lanjut Mahmud berkata, Seksyen 424A Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang memiliki atau mengawal instrumen pembayaran atau akaun bank milik orang lain tanpa kuasa atau tujuan yang sah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM50,000, penjara dari enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau memberi ingatan, pemilik akaun yang secara sukarela menyerahkan kad bank atau akses akaun mereka kepada pihak lain juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan, mana-mana individu yang secara langsung atau tidak langsung memberikan pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun institusi kewangannya kepada orang lain tanpa kuasa atau tujuan yang sah, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau dipenjarakan antara satu hingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mahmud berkata, dalam banyak kes, akaun bank yang diserahkan kepada ah long atau pihak ketiga digunakan untuk menjalankan transaksi haram tanpa pengetahuan pemilik asal akaun.
“Namun apabila berlaku siasatan, pemilik akaun tetap akan menjadi individu pertama yang disiasat dan berisiko didakwa sebagai ‘keldai akaun’ atau terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya. - Getaran, 21 Jun 2026

