web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Krisis Pemakanan Ancam Masa Depan Modal Insan Negara

Walaupun negara telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat selama beberapa dekad dan melaksanakan pelbagai strategi pemakanan di peringkat nasional, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak masih berada pada paras 21.2 peratus. 

Rencana Dikemaskini 1 jam yang lalu · Diterbitkan pada 20 Jun 2026 1:48PM

Kekurangan nutrisi boleh menyebabkan gangguan tumbesaran dan perkembangan otak yang berpanjangan- Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Malaysia berdepan krisis pemakanan yang semakin membimbangkan apabila kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak masih kekal tinggi.

Lebih merungsingkan, obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja turut meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti modal insan negara pada masa hadapan.

Walaupun negara telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat selama beberapa dekad dan melaksanakan pelbagai strategi pemakanan di peringkat nasional, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak masih berada pada paras 21.2 peratus. 

Pada masa sama, kadar obesiti dalam kalangan golongan muda meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh 26 tahun lalu.

Keadaan itu meletakkan Malaysia di belakang beberapa negara serantau yang mempunyai tahap pendapatan lebih rendah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha menangani masalah pemakanan dan kesihatan awam di negara ini.

Firma perunding pengurusan tempatan, 27 Advisory berkata, pakar kesihatan kini melihat isu berkenaan bukan lagi sekadar masalah kekurangan zat makanan, sebaliknya berpunca daripada kelemahan yang lebih besar dalam persekitaran makanan negara serta pelaksanaan program kesihatan awam.

Menurut mereka, kesan krisis tersebut tidak hanya menjejaskan kesihatan individu, malah berpotensi memberi implikasi besar terhadap produktiviti tenaga kerja dan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.

Pakar menjelaskan, asas kepada masalah itu bermula seawal peringkat kehamilan dan tahun-tahun awal kehidupan kanak-kanak. 

Tempoh 1,000 hari pertama kehidupan, bermula sejak dalam kandungan sehingga usia dua tahun, dianggap sebagai fasa paling kritikal bagi perkembangan fizikal dan kognitif seseorang.

Sebarang kekurangan nutrisi dalam tempoh tersebut boleh menyebabkan gangguan tumbesaran dan perkembangan otak yang berpanjangan, malah dalam banyak keadaan, kesannya tidak dapat dipulihkan walaupun selepas kanak-kanak membesar.

Keadaan kesihatan ibu semasa mengandung turut memainkan peranan penting. 

Wanita yang mengalami anemia, kekurangan tenaga kronik atau tidak memperoleh pemakanan yang seimbang berisiko melahirkan anak yang turut berdepan masalah pertumbuhan sejak awal kehidupan.

Selepas kelahiran pula, faktor seperti kekurangan sokongan penyusuan susu ibu, ketidakjaminan makanan dalam isi rumah serta amalan pemakanan pelengkap yang tidak sesuai boleh meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami gangguan perkembangan yang berterusan.

Walaupun Kementerian Kesihatan telah memulakan kajian jangka panjang di Langkawi bagi memahami faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan awal kanak-kanak, usaha menyalurkan hasil kajian tersebut kepada bentuk intervensi yang berkesan untuk keluarga berisiko masih menjadi cabaran utama.

Dalam masa yang sama, negara turut berdepan masalah bertentangan apabila semakin ramai kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

Perubahan gaya hidup moden serta peningkatan penggunaan makanan ultra-proses yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada trend tersebut. 

Kesibukan kehidupan bandar juga menyebabkan semakin ramai keluarga bergantung kepada makanan yang dibeli di luar sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Situasi itu turut memberi kesan kepada persekitaran sekolah apabila sebahagian pengusaha kantin memilih untuk menjual makanan yang lebih mengenyangkan dan mudah disediakan bagi memastikan operasi mereka kekal berdaya maju dari segi kos.

Akibatnya, sebahagian pelajar memperoleh kalori yang mencukupi untuk mengenyangkan perut, namun gagal mendapat nutrien penting yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. 

Dianggarkan kira-kira 10 peratus pelajar mengambil makanan sedemikian setiap hari.

Menurut 27 Advisory, Malaysia sebenarnya tidak berdepan kekurangan dasar atau pelan tindakan berkaitan pemakanan. 

Pelan Strategik Kebangsaan Pemakanan yang sedang dilaksanakan sehingga tahun 2030 merangkumi 31 inisiatif termasuk pemantauan status pemakanan bayi secara berterusan.

Bagaimanapun, jurang antara dasar yang dirangka dan pelaksanaannya di peringkat komuniti masih menjadi cabaran terbesar.

Pakar berpendapat, kelemahan utama terletak pada tahap pelaksanaan di peringkat penjagaan kesihatan primer. 

Kehadiran yang rendah dalam pemeriksaan kesihatan ibu dan anak menyebabkan ramai individu memerlukan bantuan gagal dikenal pasti lebih awal.

Keadaan itu menghalang mereka daripada menerima khidmat nasihat pemakanan, pemantauan kesihatan serta bantuan makanan yang diperlukan sebelum masalah perkembangan menjadi lebih serius dan sukar diperbaiki.

Kesan jangka panjang masalah ini turut melangkaui sektor kesihatan. 

Kanak-kanak yang mengalami bantut berisiko mencatat pencapaian akademik lebih lemah, mempunyai keupayaan kognitif yang terhad serta memperoleh pendapatan lebih rendah apabila dewasa.

Pada masa sama, semakin ramai kanak-kanak obesiti mula menunjukkan masalah kesihatan yang sebelum ini lebih sinonim dengan golongan dewasa seperti pradiabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi.

Kajian turut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berjaya mengelakkan masalah bantut mempunyai peluang lebih besar untuk keluar daripada kitaran kemiskinan apabila dewasa. 

Selain itu, pelaburan dalam program pemakanan awal kanak-kanak juga terbukti mampu meningkatkan produktiviti ekonomi serta menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu, pakar menegaskan, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang lebih menyeluruh dan konsisten di peringkat komuniti.

Ini bagi memastikan bantuan pemakanan benar-benar sampai kepada keluarga yang memerlukan, khususnya dalam tempoh awal kehidupan yang paling kritikal untuk perkembangan kanak-kanak. - Getaran, 20 Jun 2020

Berita Berkaitan

1

Rencana 2 hari yang lalu

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia

2

Rencana 5 hari yang lalu

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

3

Rencana 2 minggu yang lalu

Monarki Dan Kekacauan Di Negeri Sembilan

4

Rencana 2 minggu yang lalu

Kekal Subsidi RON95, Diesel ‘Talian Hayat’ Untuk Rakyat Marhaen Bernafas

Sorotan

1

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

2

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

3

Op Soga XI: 58 Ditahan, Polis Perhebat Tindakan Terhadap Sindiket Judi Piala Dunia 

4

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

5

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia