Saat melihat ke langit biru terbentang luas, atau menebar pandangan ke arah cantiknya alam semula jadi Malaysia, apa agaknya yang sering bermain di fikiran kita? Pernahkah kita terfikir betapa rapuhnya keseimbangan alam akibat perubahan iklim yang semakin ketara?
Saban tahun, fenomena cuaca yang tidak menentu dan peningkatan suhu global mula memberikan isyarat yang jelas bahawa cara kita hidup, bekerja, dan menjana tenaga perlu melalui satu evolusi yang signifikan.
Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, tidak terkecuali daripada tanggungjawab besar untuk memastikan kemajuan ekonomi tidak dibayar dengan harga kerosakan alam sekitar.
Dalam usaha memastikan kelangsungan generasi akan datang menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan persekitaran yang lebih bersih, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Malaysia kini berada pada titik penentu dalam landskap pembangunan sosioekonomi negara apabila peralihan tenaga bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu kemestian demi menjamin kelangsungan generasi masa depan.
Selari dengan komitmen global dalam menangani perubahan iklim, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) diluncurkan, dengan matlamat murni memacu dasar negara untuk mencapai sasaran peralihan tenaga yang komprehensif.
Objektif NETR
NETR membawa objektif jelas iaitu mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050 dan usaha ini bukan sahaja melibatkan perubahan teknikal dalam penjanaan kuasa, malah mencakupi transformasi menyeluruh dalam infrastruktur, pelaburan ekonomi serta anjakan gaya hidup rakyat jelata.
Dalam mengemudi agenda besar ini, peranan kepimpinan peringkat tertinggi adalah kritikal bagi memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.
Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menyelaraskan dan mempercepat usaha peralihan tenaga ini.

Sering menekankan kepentingan keseimbangan antara keperluan tenaga untuk pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar, pengawasan serta kepimpinan beliau membolehkan koordinasi antara kementerian dan agensi kerajaan diperkukuh bagi memastikan agenda dekarbonisasi negara tidak terencat.
Ia sekali gus memastikan keterjaminan bekalan tenaga nasional sentiasa terjamin meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik global.
Mengubah Lanskap Penjanaan Tenaga Negara
Komponen utama yang dijayakan di bawah NETR menyentuh aspek kritikal seperti kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB), pengurangan pelepasan karbon, transformasi bahan api serta infrastruktur, dan pelaburan ekonomi.
Malaysia telah menetapkan sasaran peningkatan berperingkat bagi kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber boleh baharu seperti solar, hidro, dan biojisim dalam campuran kapasiti terpasang negara.
Sasaran ditetapkan cukup ambisius namun realistik, dengan 31 peratus TBB menjelang 2025 dan setakat Disember 2025, kerajaan telah mencapai sekitar 30 peratus, sekali gus berada pada landasan yang betul untuk memenuhi sasaran tersebut.
Keupayaan untuk mencapai peningkatan berterusan sehingga 40 peratus pada 2035 dan seterusnya 70 peratus pada 2050 menunjukkan komitmen jitu negara dalam meninggalkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil.
Usaha pengurangan pelepasan karbon juga dipergiatkan secara sistematik dan bagi tujuan ini, Malaysia menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus berdasarkan KDNK berbanding tahap 2005 menjelang 2030.
Bagi sektor kuasa pula, pengurangan intensiti karbon sebanyak 60 peratus berbanding tahap 2000 disasarkan menjelang 2035.
Matlamat akhir negara adalah mencapai Aspirasi Sifar Bersih (Net-Zero Emissions) menjelang 2050, yang menyaksikan pelepasan karbon diimbangi sepenuhnya oleh penyerapan karbon.
Transformasi ini turut melibatkan penstrukturan semula bahan api, dan Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan kapasiti loji kuasa batu bara sebanyak 50 peratus menjelang 2035, sekali gus menamatkan sepenuhnya penggunaan loji batu bara pada 2044.
Infrastruktur, Pelaburan Dan Keterjaminan Tenaga
Bagi merealisasikan aspirasi ini, pelaburan besar amat diperlukan bagi membina infrastruktur yang mampan, justeru, negara dianggarkan memerlukan pelaburan sebanyak RM637 bilion menjelang 2050 untuk pembangunan infrastruktur grid, sistem penyimpanan tenaga (ESS), dan kos operasi rangkaian.
Pelaburan besar ini bukan sekadar berpaksikan kos, tetapi merupakan pemangkin ekonomi kerana ia dijangka menyumbang RM220 bilion kepada KDNK dan menjana kira-kira 310,000 pekerjaan hijau menjelang 2050.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah menyatakan kesediaan untuk melabur sebanyak RM43 bilion atau AS$10.8 bilion bermula 2025 hingga 2027 bagi menaik taraf dan memperkukuh sistem grid nasional.
Inisiatif ini mencakupi integrasi elemen kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan pengurusan tenaga sekali gus mempercepat aspirasi peralihan tenaga negara.
Ketegangan geopolitik di Asia Barat mutakhir ini telah memberi pengajaran penting kepada Malaysia mengenai perlunya memperkukuh keterjaminan tenaga nasional.
Kebergantungan tinggi kepada bahan api fosil yang mudah terdedah kepada pergolakan harga global menuntut kerajaan untuk mempercepat usaha peralihan tenaga.
Dalam konteks serantau, Malaysia komited dalam menjayakan Grid Tenaga Asean (APG), khususnya melalui Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
LTMS-PIP adalah langkah strategik untuk merealisasikan perdagangan elektrik pelbagai hala yang membolehkan setiap negara ASEAN bekerjasama membekalkan tenaga boleh baharu merentasi sempadan.
APG dijangka mampu menyumbang AS$3 trilion kepada KDNK ASEAN menjelang 2050, selain bakal mewujudkan 1.45 juta peluang pekerjaan di rantau ini.
Peranan Rakyat Dan Transformasi Gaya Hidup
Kejayaan peralihan tenaga bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif daripada pihak industri dan rakyat.
Barisan pemimpin diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahjm telah memperkenalkan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat untuk menyokong peralihan ini.
Antara inisiatif tersebut ialah Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo), Program Solar Accelerated Transition Action Program (SOLAR ATAP), serta Projek Tenaga Bijak Madani (NEEAP 2.0).
Semua program tersebut bertujuan menggalakkan pemasangan sistem solar di premis kediaman dan komersial bagi mengurangkan bil elektrik serta kebergantungan kepada grid nasional yang dijana oleh bahan api fosil.
Dalam sektor pengangkutan, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada usaha dekarbonisasi yang kritikal turut digalakkan.
Sasaran NETR dalam mobiliti hijau sangat jelas, antaranya untuk meningkatkan perkongsian mod pengangkutan awam sehingga 60 peratus dan mempercepat penembusan kenderaan elektrik pacuan empat roda serta motosikal elektrik kepada 80 peratus.
Selain itu, kerajaan juga berazam memperkukuh keupayaan pembuatan EV tempatan bagi mencapai 90 peratus, sambil terus menambah baik kecekapan bahan api bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) sedia ada.
Satu aspek penting yang perlu difahami oleh rakyat adalah mengenai struktur subsidi elektrik.
Walaupun subsidi tarif elektrik yang diberikan buat masa ini membantu meringankan beban kewangan pengguna, hakikatnya ia tidak mampan untuk jangka masa panjang.
Kemampanan sistem tenaga negara harus mencerminkan kos sebenar agar pelaburan untuk infrastruktur yang lebih hijau dan efisien dapat disalurkan dengan sewajarnya.
Dengan memahami bahawa peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja membantu alam sekitar tetapi juga membina daya tahan ekonomi negara, rakyat diharapkan dapat bersama-sama menyokong inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan demi masa depan yang lebih lestari, bersih, dan makmur.
Sokongan padu daripada setiap lapisan masyarakat, di bawah kepimpinan strategik negara, akan memastikan Malaysia mencapai sasaran Sifar Bersih 2050 dengan jayanya. - Getaran, 18 Jun 2026