KUALA LUMPUR - Pembukaan semula Selat Hormuz perlu segera dilaksanakan, susulan perkembangan positif hubungan Iran - Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran, gangguan berpanjangan ke atas antara laluan maritim paling penting dunia itu akan membawa implikasi besar terhadap keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.
Menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Washington dan Tehran, beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat, serta membuka jalan ke arah keamanan berkekalan di rantau berkenaan.
“Malaysia turut mengalu-alukan pengumuman bahawa memorandum persefahaman antara kedua-dua negara dijangka ditandatangani dalam beberapa hari akan datang, sekali gus menandakan potensi titik perubahan selepas bertahun-tahun permusuhan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Melalui hantaran sama, Perdana Menteri turut memuji usaha diplomatik yang membantu membawa kedua-dua pihak ke tahap persefahaman semasa, khususnya peranan pengantaraan dilaksanakan Pakistan.
“Pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini mesti dianggap sebagai keutamaan paling mendesak. Selat ini merupakan nadi penting kepada keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.
“Sebarang gangguan yang berpanjangan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” katanya.
Anwar dalam hantaran itu turut menggesa semua pihak bertindak dengan niat baik serta meneruskan proses yang dipersetujui tanpa berlengah.
Tegasnya, adalah amat mustahak untuk menterjemahkan persefahaman semasa kepada penyelesaian yang berkekalan dan aman.
Beliau memberi ingatan, pihak berkepentingan serantau dan kuasa luar perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kemajuan diplomatik atau mencetuskan semula permusuhan.
“Malaysia bersedia menyokong segala usaha ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, serta menyeru masyarakat antarabangsa agar mengekalkan momentum positif ini,” katanya. - Getaran, 16 Jun 2026

