KUALA LUMPUR - Ujian kualiti air yang dijalankan susulan insiden tumpahan asid hidroklorik berhampiran Cherating mendapati tiada petunjuk berlakunya pencemaran alam sekitar.
Ia sekali gus memberi jaminan, tindakan kecemasan pantas berjaya mengelakkan ancaman ekologi yang berpotensi serius terhadap kawasan paya bakau dan Sungai Cherating.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, pasukan pemantauan telah menjalankan persampelan air serta ujian pH di beberapa lokasi berhampiran kawasan tumpahan, selepas sebuah lori tangki membawa asid hidroklorik terbalik berhampiran Jambatan Cherating pada Jumaat.
Menurut JAS, ujian dijalankan di tiga lokasi dalam kawasan paya bakau sebelum aliran air memasuki Sungai Cherating, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
“Ujian air telah dijalankan di tiga lokasi dalam kawasan paya bakau sebelum memasuki Sungai Cherating yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi insiden dan mendapati bacaan pH adalah normal pada pH 6.
“Pemantauan bacaan pH menggunakan peralatan YSI di Sungai Cherating pula mendapati bacaan pH air sungai adalah pH 9.4, sekali gus menunjukkan tiada pencemaran asid berlaku,” menurut kenyataan jabatan itu.
Penemuan tersebut menunjukkan bahawa asid hidroklorik itu tidak memberi kesan ketara terhadap sistem sungai, walaupun sebelum ini terdapat kebimbangan bahan kimia berkenaan mengalir ke kawasan paya bakau berhampiran susulan kemalangan tersebut.
JAS turut memuji tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang yang berjaya mengawal keadaan dengan menutup saluran pelepasan di bahagian belakang lori tangki, sekali gus menghalang lebih banyak bahan berbahaya daripada tertumpah.
“Jumlah tumpahan dianggarkan sekitar 1,000 liter dan telah dineutralkan menggunakan soda ash. Tiada lagi kebocoran dikesan,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa menegaskan, insiden berkenaan masih dipantau rapi dan memberi amaran, mana-mana pihak yang didapati melepaskan bahan pencemar sehingga melanggar undang-undang alam sekitar boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Menurut JAS, sebarang pelepasan bahan pencemar yang mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan disiasat secara menyeluruh.
Sekiranya ketidakpatuhan terhadap perundangan tersebut dibuktikan, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
JAS memaklumkan, pemantauan berkala akan terus dijalankan di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran tertangguh berlaku serta mengesahkan semua langkah pembersihan dan pembendungan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan peraturan.
Insiden berkenaan berlaku selepas sebuah lori tangki yang membawa asid hidroklorik terbalik di Cherating pada pagi Jumaat.
Pemandu lori dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut, manakala sebahagian muatan bahan kimia terbabit tertumpah dan mengalir ke ekosistem paya bakau berhampiran, sekali gus mencetuskan tindakan kecemasan segera oleh pihak berkuasa alam sekitar dan penyelamat. - Getaran, 14 Jun 2026

