KUALA LUMPUR - Penipuan dalam talian di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila jumlah kerugian tahunan melonjak kepada RM2.97 bilion, susulan peningkatan 87 peratus kes jenayah siber berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail melahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan mendadak itu sambil menyatakan, lonjakan kes masih berterusan meskipun pelbagai operasi penguatkuasaan agresif serta kempen kesedaran awam dijalankan pihak berkuasa.
Menurut beliau, data polis menunjukkan 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2026, meningkat ketara berbanding 35,368 kes yang dicatatkan pada tahun 2025.
“Statistik menunjukkan trend yang amat membimbangkan. Sepanjang 2026, 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan setakat ini, mewakili peningkatan mendadak sebanyak 87 peratus berbanding 35,368 kes pada tahun 2025.
“Dari segi kerugian kewangan pula, jumlah kerugian pada tahun 2026 mencecah RM2.97 bilion, meningkat sebanyak RM1.40 bilion berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Jelas Mohd Khalid, penipuan telekomunikasi atau lebih dikenali sebagai ‘phone scam’ kekal menjadi ancaman paling lazim dengan sebanyak 28,388 kes dilaporkan.
“Dari segi kerugian kewangan, skim pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM1.47 bilion daripada keseluruhan kerugian direkodkan,” katanya.
Susulan peningkatan kes berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sindiket penipuan.
Operasi terbaru di Lembah Klang menyaksikan penahanan 183 individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan aktif.
Ketika berucap pada pelancaran kempen bersama “Perangi Scam, Two Forces, One Mission” antara PDRM dan Public Bank hari ini, Mohd Khalid menegaskan bahawa usaha penguatkuasaan perlu disertai dengan peningkatan kesedaran awam.
“Kami menjalankan operasi dari semasa ke semasa. Baru-baru ini, seramai 183 individu terlibat dalam aktiviti penipuan telah ditahan dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap mereka di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang.
“Kami akan meneruskan operasi ini, namun yang paling penting ialah mendidik masyarakat supaya tidak mudah percaya atau menjadi mangsa penipuan seperti ini,” katanya.
Skala masalah tersebut tambahnya, turut dilihat menerusi beban kerja harian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), yang terus menerima jumlah laporan tinggi daripada mangsa penipuan.
“Setiap hari, kami menerima antara 500 hingga 700 panggilan telefon, dan kebanyakannya membantu kami untuk membantu mangsa serta menyiasat kes melibatkan kehilangan wang mereka,” katanya.
Mohd Khalid turut menggesa orang ramai lebih berhati-hati ketika menjalankan transaksi digital.
Beliau menasihatkan masyarakat agar mengesahkan sebarang permintaan melibatkan pemindahan wang atau pendedahan maklumat peribadi melalui saluran rasmi institusi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan. - Getaran, 15 Jun 2026
