KUALA LUMPUR - Seramai 38,953 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, susulan penstrukturan semula secara berterusan dan pengurangan operasi berskala besar oleh syarikat-syarikat tempatan.
Senario tersebut mendorong Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperluaskan program bantuan pekerjaan kecemasan serta inisiatif peningkatan kemahiran bagi membantu golongan terjejas kembali memasuki pasaran kerja.
Langkah campur tangan bersasar itu dilaksanakan ketika beberapa sektor utama ekonomi termasuk pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan automotif serta perkhidmatan sokongan pentadbiran korporat sedang melalui penyesuaian struktur bagi menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kerajaan sedang memperkukuh pelbagai mekanisme pekerjaan bagi melindungi pekerja yang terkesan dan mempercepatkan penempatan semula mereka ke sektor-sektor berpotensi tinggi.
Menurut data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sejumlah 38,953 individu direkodkan kehilangan pekerjaan secara rasmi antara Januari hingga Mei tahun ini.
“Analisis menunjukkan majoriti kes melibatkan pekerja berusia antara 25 hingga 39 tahun,” katanya.
Mengikut jantina, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 64 peratus daripada keseluruhan kehilangan pekerjaan, manakala wanita merekodkan 15,417 kes atau 39.6 peratus.
Ramanan menjelaskan, penyusutan tersebut tidak mencerminkan keruntuhan sistemik ekonomi secara menyeluruh, sebaliknya didorong usaha penstrukturan semula korporat dan pelarasan operasi syarikat bagi menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa.
Beliau berkata, meskipun berlaku peningkatan pemberhentian pekerja, asas makroekonomi pasaran buruh Malaysia kekal kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik.
Pada April lalu, jumlah tenaga buruh negara mencapai 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada paras 3.0 peratus.
Kadar penyertaan tenaga buruh pula berada pada tahap 70.9 peratus, melibatkan 82.9 peratus lelaki dan 57.3 peratus wanita, sekali gus mencerminkan pasaran buruh negara yang stabil dan berdaya tahan.
Bagi mengurangkan kesan kejutan ekonomi setempat, kementerian menggesa pekerja yang terjejas memanfaatkan platform padanan pekerjaan digital seperti Labour Market Exchange dan MYFutureJobs Galaxy untuk mendapatkan maklumat masa nyata mengenai kekosongan jawatan serta peluang kerjaya alternatif.
Strategi kementerian turut memberi tumpuan kepada keanjalan struktur tenaga kerja dengan matlamat memindahkan pekerja yang terkesan ke peranan baharu, sebelum ketiadaan berpanjangan dalam pasaran kerja menjejaskan kemahiran sedia ada mereka.
Bagi memastikan pekerja menerima sokongan menyeluruh, kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan tiga teras utama iaitu peralihan kerjaya dan sokongan pekerjaan, program peningkatan dan penambahbaikan kemahiran, serta langkah intervensi awal bagi sektor-sektor kritikal.
Usaha tersebut bertujuan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran, meningkatkan kebolehpasaran dan memperkukuh daya saing mereka. - Getaran, 14 Jun 2026
