KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan kartel perolehan awam yang didakwa beroperasi secara terancang susulan penahanan 13 individu, termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air.
Kesemua mereka, disyaki meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2.5 juta terdiri daripada lapan penjawat awam dan lima individu awam yang memiliki entiti perniagaan tempatan.
Mereka dipercayai bersekongkol antara 2024 hingga 2026 bagi memanipulasi kontrak perolehan secara rundingan terus dan sebut harga rasmi melibatkan agensi kerajaan negeri berkenaan.
Siasatan awal mendapati, kontraktor terlibat dikehendaki membayar komisen antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang haram itu disalurkan kepada pengarah kanan agensi terbabit bagi memastikan projek dimonopoli syarikat yang dikawal kartel.
Operasi penguatkuasaan berskala besar yang dikenali sebagai Op Drain itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan SPRM di 25 lokasi berasingan, termasuk kediaman persendirian, pejabat korporat dan premis kerajaan di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang serta Perak.

Dalam serbuan bersepadu tersebut, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM1.5 juta, barang kemas mewah dianggarkan bernilai RM1 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan serta sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Semua suspek ditahan Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Perak, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah reman.
Majistret Anis Hanini Abdullah kemudian membenarkan permohonan reman yang dikemukakan.
Tiga daripada suspek, termasuk dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat, direman selama dua hari sehingga hari ini.
Sumber SPRM berkata, baki 10 suspek pula direman selama lima hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - Getaran, 17 Jun 2026

