KUALA LUMPUR - Orang ramai tifak lagi perlu membayar caj RM1 untuk setiap pengeluaran wang tunai antara bank di mesin ATM dan Smart Recycler Machine (SRM) bermula 1 Julai nanti.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) melalui kenyataan bersama memaklumkan, langkah tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), membolehkan pemegang kad debit membuat pengeluaran wang tunai tanpa had dan tanpa caj di lebih 14,000 mesin seluruh negara.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan perkhidmatan perbankan kekal mudah diakses dan relevan selaras dengan perubahan keadaan ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Jelas persatuan berkenaan, keputusan tersebut turut mencerminkan komitmen yang lebih luas dalam menjadikan perkhidmatan kewangan lebih inklusif dan mampu milik, memandangkan wang tunai masih memainkan peranan penting bagi ramai rakyat Malaysia.
“Kami sedar walaupun pembayaran digital semakin berkembang, wang tunai masih penting bagi sebahagian besar masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, bank-bank akan terus menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai yang selamat dan mudah, sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital.
“Pelanggan seharusnya mempunyai kebebasan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Persatuan berkenaan menegaskan, matlamat utama adalah untuk mencapai keseimbangan antara usaha mempercepatkan pendigitalan dan memastikan tiada pihak yang tercicir daripada arus perkembangan tersebut. - Getaran, 15 Jun 2026
