KUALA LUMPUR - Sindiket yang dipercayai menjual ubat tidak berdaftar mengandungi sibutramine secara dalam talian berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan di sebuah pusat hab logistik di Seksyen 19, Petaling Jaya 3 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta CPF Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.
Menurutnya, serbuan dilakukan susulan aduan berkaitan penjualan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik yang terlibat dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar yang mengandungi sibutramine kepada pengguna di Malaysia.
“Dalam operasi tersebut, pihak kami berjaya merampas tiga jenis produk tidak berdaftar yang mengandungi sibutramine serta 21 jenis produk suplemen kesihatan berjenama asing yang tidak berdaftar,” katanya hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM5.6 juta.
Menurutnya, sibutramine merupakan ubat yang digunakan untuk penurunan berat badan dan hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh melalui farmasi dengan preskripsi doktor.
“Penggunaan sibutramine tanpa pemantauan doktor boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung.
“Ia juga berisiko menyebabkan komplikasi kardiovaskular termasuk strok dan serangan jantung,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ummi Kalthom berkata, CPF JKNS sepanjang tahun ini telah menjalankan pemeriksaan ke atas 13 syarikat pengendali hab logistik di Selangor dan berjaya merampas produk tidak berdaftar termasuk suplemen berjenama asing bernilai lebih RM30 juta.
“Hasil siasatan mendapati terdapat penglibatan penjual dari luar negara yang menggunakan pengendali perkhidmatan hab logistik sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar.
“Produk berkenaan dijual kepada pengguna di negara ini menerusi pelbagai platform e-dagang,” katanya.
Tegasnya, penjualan produk tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. - Getaran, 16 Jun 2026

