KUALA LUMPUR - Lapan individu, termasuk dua kakitangan Boeing, terbunuh selepas sebuah pesawat pengebom strategik B-52 Stratofortress milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) terhempas sejurus berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Edwards di selatan California, Amerika Syarikat pada Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi waktu tempatan ketika pesawat berkenaan menjalankan misi ujian rutin, bagi menyokong program pemodenan radar pangkalan tersebut.
Menurut Komander Pangkalan Tentera Udara Edwards, Kolonel James Hayes, pesawat itu terhempas dan terbakar sebaik sahaja berlepas dari landasan, mengorbankan kesemua lapan individu yang berada di dalamnya.
"Hari ini, Pangkalan Tentera Udara Edwards mengalami satu tragedi yang dahsyat dan kami kehilangan lapan rakyat Amerika yang hebat,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada gabungan anggota tentera, kakitangan awam kerajaan dan kontraktor kerajaan.
Hayes berkata, berdasarkan rakaman awal yang diperoleh, nahas itu disifatkan sebagai “tidak boleh diselamatkan” dan tiada mangsa yang terselamat.
Pihak pangkalan memaklumkan operasi penerbangan digantung sementara selepas kejadian, manakala kawasan nahas berjaya dikawal sepenuhnya di dalam perimeter pangkalan.
“Kami sedang memaklumkan waris mangsa dan identiti mereka akan diumumkan selepas proses itu selesai,” katanya.
Punca nahas masih belum dikenal pasti dan siasatan awal dijangka mengambil masa sehingga 30 hari, manakala analisis terperinci berhubung faktor penyebab kemalangan mungkin mengambil masa lebih enam bulan.
Dalam kenyataan berasingan, Boeing mengesahkan dua kakitangannya berada dalam pesawat tersebut ketika nahas berlaku dan syarikat itu kini sedang berhubung dengan keluarga mangsa.
Gabenor California, Gavin Newsom, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan komuniti Pangkalan Tentera Udara Edwards.
Rakaman udara dari lokasi kejadian menunjukkan kawasan sekitar kejadian hangus dan masih berasap akibat kebakaran yang tercetus selepas pesawat terbabit terhempas.
Pihak pangkalan turut mengumumkan penutupan sementara lapangan terbang tentera tersebut, dengan semua pesawat yang dijadualkan mendarat diarahkan ke lokasi alternatif.
Semua pas lawatan bukan komersial juga digantung sehingga diberitahu kelak bagi membolehkan operasi kecemasan dijalankan.
B-52 Stratofortress merupakan pesawat pengebom jarak jauh yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat sejak era 1950-an.
Pesawat berkenaan berupaya membawa pelbagai jenis persenjataan konvensional dan nuklear serta mempunyai keupayaan mengisi minyak di udara bagi membolehkannya beroperasi dalam jarak yang sangat jauh. - Getaran, 16 Jun 2026

