KUALA LUMPUR - Penyertaan dalam PAS disifatkan sebagai satu usaha berterusan memperjuangkan reformasi.
Menepis kritikan bahawa langkah terbaharu itu mencerminkan kegagalan, mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, rekod perkhidmatannya sudah cukup untuk dinilai umum.
Mengulas tulisan tokoh korporat, Datuk Vinod Sekhar, Zaid berkata, beliau telah menghabiskan hampir tiga dekad berjuang bersama UMNO, sebelum disingkirkan kerana pendiriannya berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Saya berusaha membawa reformasi dalaman sebelum disingkirkan kerana menentang ISA.
“Saya kemudian menyertai PKR kerana percaya parti itu komited terhadap perubahan struktur negara, namun ternyata ia tidak seperti yang diharapkan,” katanya.
Vinod semalam melemparkan kritikan keras terhadap terhadap perubahan haluan politik Zaid menerusi tulisan bertajuk ‘Tragedi Zaid Ibrahim, Kisah Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan’.
Mengulas lanjut Zaid berkata, beliau kemudian menyertai DAP dengan harapan yang sama, termasuk merancang untuk bertanding di Gelang Patah, namun hasrat itu juga tidak menjadi kenyataan.
Langkah terbaharunya menyertai PAS menerima perhatian ramai dan mencetuskan kejutan memandangkan kedudukan ideologi parti tersebut.
Namun, Zaid berkata, beliau mengalu-alukan peluang tersebut dan berharap dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya percaya masih mampu menyumbang kepada negara,” katanya.
Mempersoalkan mengapa perjalanan politiknya mencetuskan reaksi sedemikian, Zaid berpendapat pengkritik gagal melihat gambaran yang lebih besar.
Beliau turut memberi bayangan akan menggariskan visinya untuk membina semula Malaysia, dengan menyatakan PAS berpotensi menjadi asas kepada kepimpinan berteraskan moral, pengurangan rasuah serta penekanan lebih kukuh terhadap kebajikan rakyat dan keadilan.
“Mengapa anda begitu takut jika saya berjaya?” soalnya dalam kenyataan penutup yang seolah ditujukan kepada para pengkritiknya. - Getaran, 16 Jun 2026
