KUALA LUMPUR - Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, memohon maaf kepada institusi Undang Yang Empat susulan tindakannya menggunakan gelaran tradisional berkaitan institusi berkenaan pada satu program politik baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Shahir mengakui kesilapannya selepas bergurau dengan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Beliau berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan yang menjunjung adat, budaya dan institusi Undang, penggunaan gelaran berkaitan institusi tersebut merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya memohon maaf kepada Undang Yang Empat atas tindakan saya bergurau dengan Anthony Loke dengan merujuk kepada gelaran yang digunakan terhadap beliau di media sosial sebagai ‘Tok Undang’.
“Saya memandang serius penggunaan gelaran ‘Datuk Undang’ kerana ia melibatkan sensitiviti institusi Adat Perpatih yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Ahmad Shahir berkata, beliau menyesali kekhilafan tersebut dan berharap permohonan maaf berkenaan dapat meredakan keadaan serta menjernihkan isu yang timbul.
“Di atas kesilapan ini, saya berasa amat kesal dan berharap perkara ini dapat menjernihkan keadaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan PH kekal komited untuk menghormati dan mempertahankan martabat institusi Undang yang disifatkannya sebagai warisan berharga serta kebanggaan rakyat Negeri Sembilan.
Isu berkenaan tercetus selepas gelaran tradisional yang dikaitkan dengan institusi Undang digunakan secara berseloroh dalam program politik tersebut, sekali gus mengundang perhatian pelbagai pihak. - Getaran, 15 Jun 2026
