KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus memainkan peranan membantu pelajar Palestin membina semula kekuatan bangsa mereka, melalui ilmu dan pendidikan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah jambatan harapan, keamanan dan masa depan.
“Saya menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Palestin ke Malaysia, TYT Jehad Alqedra.
“Kami berbincang mengenai usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Palestin,” katanya.
Jelas Zambry, kerjasama itu termasuk sokongan berterusan kepada pelajar Palestin.
“Ia juga meliputi peluang kerjasama antara universiti kedua-dua negara,” katanya.

Rejim Zionis Israel ketika ini masih rancak menjarah Palestin dengan merampas lebih banyak wilayah dan membunuh rakyatnya.
Gencatan senjata sejak Oktober 2025 yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, setakat ini gagal menghentikan serangan Israel di Gaza.
Terbaru, dua beradik terbunuh dalam serangan di tengah Semenanjung Gaza, menjadikan hampir 1,000 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel sejak Oktober lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Ratusan institusi dan kemudahan pendidikan di Palestin turut musnah, menjadikan ramai penduduknya terpaksa melarikan diri semata-mata untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. - Getaran, 17 Jun 2026
