KUALA LUMPUR - Polis memperhebat operasi membanteras kegiatan pertaruhan sukan haram dan perjudian dalam talian menerusi pelaksanaan Op Soga XI di seluruh negara.
Setakat ini, 58 individu telah ditahan, melibatkan rampasan wang tunai dan hasil pertaruhan bernilai lebih RM514,000.
Operasi yang bermula pada 11 Jun lalu dan akan berlangsung sehingga 19 Julai itu dilancarkan sebagai langkah awal menghadapi peningkatan aktiviti pertaruhan haram sempena Piala Dunia FIFA 2026, antara acara sukan terbesar dunia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 52 serbuan serentak telah dijalankan di seluruh negara, dengan 54 lelaki dan empat wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan sukan haram dan perjudian dalam talian.
Menurut beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM25,684.65, manakala nilai keseluruhan aktiviti pertaruhan yang dikesan dianggarkan mencecah RM488,582.47.
“Pihak berkuasa turut mengenal pasti 42 platform digital yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak dan mempromosikan perkhidmatan perjudian dalam talian, termasuk laman sesawang, aplikasi mudah alih serta akaun media sosial,” katanya hari ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau iklan serta promosi perjudian dalam talian, selain mengambil tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan.
“Semua suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) yang berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Tambah beliau, PDRM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dan mempertingkat kerjasama dengan agensi berkaitan bagi melumpuhkan rangkaian perjudian haram yang masih aktif di seluruh negara.
Dalam pada itu, orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian haram secara menyeluruh. - Getaran, 19 Jun 2026.

