Program realiti nyanyian popular Astro, Big Stage, kembali untuk musim ketujuh dengan penjenamaan baharu menerusi Big Stage X Rocketfuel, yang bakal bersiaran secara langsung di Astro Ria mulai 28 Jun ini.
Lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian, musim terbaharu ini tampil dengan fokus pembangunan kerjaya artis secara menyeluruh menerusi kerjasama strategik antara Astro dan Rocketfuel Entertainment.

Menerusi kolaborasi tersebut, peserta bukan sahaja berpeluang menonjolkan bakat di pentas televisyen, malah berpeluang mengembangkan kerjaya seni mereka selepas pertandingan berakhir.
Tiga peserta terbaik akan menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 yang merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej serta jenama peribadi, strategi pemasaran digital dan pengurusan kerjaya profesional.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, kerjasama dengan Rocketfuel Entertainment bertujuan memperkukuh ekosistem pembangunan bakat tempatan.
“Selama enam musim, Big Stage telah membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar pertandingan nyanyian. Ia merupakan platform yang membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka, mengasah kemahiran, membina keyakinan diri dan memperkenalkan nama kepada khalayak yang lebih luas. Ramai alumni Big Stage hari ini telah berjaya mencipta nama dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri hiburan tempatan,” ujar beliau.
Beliau berharap inisiatif itu juga mampu melahirkan generasi artis baharu yang berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan, malah serantau dan antarabangsa.
Musim ini menampilkan 10 peserta yang terdiri daripada sembilan penyanyi solo dan satu duo iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta Adam & Nazmie.
Kesemua peserta juga telah menandatangani Kontrak Pembangunan Artis Rocketfuel Entertainment sebagai langkah awal membina kerjaya seni mereka.
Dari aspek penjurian, pemenang utama Big Stage X Rocketfuel akan ditentukan sepenuhnya menerusi markah juri profesional. Penyanyi dan komposer Hael Husaini kembali sebagai juri tetap bersama Akim Ahmad dan Aisha Retno.

Sementara itu, tiga penerima kontrak pembangunan artis bernilai RM200,000 akan ditentukan menerusi gabungan undian dalam talian penonton pada pentas akhir.
Selain siaran mingguan, program ini turut menawarkan kandungan digital eksklusif seperti rakaman belakang tabir, diari persiapan peserta dan siaran langsung tambahan menerusi platform Astro Gempak.
Dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, Big Stage X Rocketfuel dilihat bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform pembangunan artis yang memberi laluan lebih jelas kepada bakat baharu untuk menembusi industri hiburan tanah air. - Getaran, 18 Jun 2026