KUALA LUMPUR - Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal, dengan menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan minggu lalu.
Tertuduh, Azmi Jantan, 43, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Berdasarkan pertuduhan, Azmi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang boleh mendatangkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6 lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13, pada kira-kira jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan turut memohon tarikh baharu bagi pembentangan fakta kes dan penjatuhan hukuman.
Azmi yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya beliau melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan fakta kes dan penjatuhan hukuman.
Terdahulu, media melaporkan seorang penunggang motosikal cedera parah ditetak seorang penunggang lain ketika waktu puncak pagi di Lebuh Raya Persekutuan.
Siasatan polis mendapati mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur telah membunyikan hon terhadap seorang penunggang motosikal yang dipercayai menghalang laluan motosikal.
Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu didakwa memberhentikan motosikalnya di tepi jalan, sebelum bertindak menyerang mangsa secara mengejut menggunakan pisau pemotong daging sehingga menyebabkan kecederaan parah. - Getaran, 18 Jun 2026

