KUALA LUMPUR -,Tindakan segelintir rakyat Malaysia yang didakwa mempersendakan penduduk tempatan ketika melancong ke luar negara mencetuskan perbincangan hangat, mengenai tanggungjawab rakyat sebagai wakil tidak rasmi negara di pentas antarabangsa.
Perdebatan itu tercetus selepas tular beberapa video memaparkan beberapa pelancong Malaysia, mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap seorang pemandu pelancong tempatan dan pemandu e-hailing, sebelum mereka ketawa beramai-ramai.
Perbuatan mereka pantas menerima reaksi netizen, sekali gus menunjukkan bagaimana perbuatan segelintir pihak boleh membentuk persepsi terhadap seluruh rakyat Malaysia.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, setiap rakyat Malaysia yang berada di luar negara membawa bersama identiti negara, sama ada disedari atau tidak.
Menurut beliau, dunia hari ini tidak lagi melihat sesuatu insiden sebagai tindakan individu semata-mata kerana kandungan yang tular sering dikaitkan dengan asal-usul dan kewarganegaraan pelakunya.
"Budaya digital menjadikan setiap rakaman video berpotensi ditonton oleh jutaan orang dalam masa singkat, sekali gus memberi kesan kepada reputasi negara yang dibawa oleh individu terbabit.
“Melancong sepatutnya menjadi ruang untuk memahami budaya, sejarah dan cara hidup masyarakat lain, bukannya medan untuk membuat perbandingan yang boleh dianggap menghina atau merendahkan maruah penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Sivakumar, sikap menghormati masyarakat setempat juga penting kerana pelancong hadir sebagai tetamu yang menikmati kemudahan, perkhidmatan dan layanan disediakan oleh negara dikunjungi.
“Perbezaan bahasa, budaya, penampilan atau latar belakang ekonomi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan individu lain.
“Majoriti rakyat Malaysia sebenarnya dikenali sebagai masyarakat yang sopan, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian budaya,” katanya.
Justeru, tambah beliau, tindakan seumpama itu tidak wajar dibiarkan kerana ia mencemarkan reputasi yang telah lama dibina hasil hubungan baik rakyat Malaysia dengan masyarakat antarabangsa.
“Semua rakyat Malaysia agar menjadikan setiap perjalanan ke luar negara sebagai peluang mempamerkan nilai murni dan akhlak yang baik, supaya nama negara terus dihormati di mana sahaja mereka berada,” katanya. - Getaran, 18 Jun 2026
