KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelancong Malaysia dikecam hebat oleh netizen selepas beberapa video memaparkan tingkah laku mereka yang tidak sopan ketika melancong ke China tular di media sosial.
Semua video tersebut, yang dikongsi semula secara meluas di pelbagai platform media sosial, memaparkan kumpulan berkenaan berada di tempat awam dan ketika sedang beratur untuk menaiki bas.
Menerusi rakaman, dapat disaksikan dengan jelas aksi tidak sopan mereka yang mencerca rakyat China dengan bahasa kesat, termasuk ketika di khalayak ramai.
Dalam salah satu video, seorang wanita dilihat menutup hidungnya, manakala seorang lain dengan suara kuat mencemuh bau kurang menyenangkan yang berlegar di sekeliling mereka, dipercayai merujuk kepada bau badan penduduk tempatan.
Ada juga kalangan mereka mempersoalkan sama ada kesemua rakyat tempatan yang berada bersama ketika itu mandi dengan sempurna atau tidak.
Satu lagi video pula memaparkan sikap kumpulan pelancong terbabit ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing, apabila seorang daripada mereka menyifatkan pemandu kenderaan tersebut sebagai “berbau” dan mendakwa dia tidak mandi.
Dalam rakaman sama, turut kedengaran kenyataan yang dilihat menggeneralisasikan penduduk China secara negatif.
Walaupun seorang individu kemudian menyatakan bahawa seorang lagi pemandu “berbau lebih baik”, dia berulang kali masih menggunakan perkataan “berbau”, yang dipercayai ditujukan kepada individu ditemui sepanjang perjalanan itu.
Semua video tersebut pantas mencetuskan reaksi negatif, dengan ramai berpendapat isu sebenar bukanlah rasa kurang selesa terhadap persekitaran asing, tetapi cara ia diluahkan.
Mereka menyifatkan tindakan kumpulan itu yang didakwa bercakap dengan kuat, mengejek orang lain serta merakam penduduk tempatan sebagai tidak menghormati, lebih-lebih lagi kerana mereka merupakan tetamu di negara orang.
Netizen turut menyuarakan kebimbangan mengenai tingkah laku mereka, yang boleh mempengaruhi persepsi terhadap pelancong Malaysia di luar negara.
Tegas mereka, adab termasuk menjaga tingkah laku di tempat awam tidak seharusnya dipandang ringan ketika melancong.
“Perjalanan sepatutnya menjadikan seseorang lebih terbuka, bukannya lebih mudah menghakimi,” tulis seorang pengguna media sosial, mengulangi sentimen yang turut dikongsi secara meluas dalam ruangan komen.
Yang lain pula berpendapat, perkara itu boleh ditangani secara berhemah tanpa menarik perhatian atau memalukan orang lain jika seseorang terhidu bau kurang menyenangkan.
Kesemua video berkenaan kini dikatakan telah tersebar luas di platform media sosial China.
Sebagai reaksi, sebahagian rakyat Malaysia tampil memohon maaf secara dalam talian sambil menegaskan bahawa semua individu terlibat tidak mewakili negara secara keseluruhan.
Insiden berkenaan turut menghidupkan semula perbincangan lebih luas mengenai sensitiviti budaya, dengan ramai mengingatkan pelancong bahawa perbezaan dari segi persekitaran, amalan dan kehidupan harian merupakan sebahagian daripada pengalaman mengembara, dan bukan alasan untuk memperlekehkan orang lain secara terbuka.
Video aksi pelancong Malaysia berkenaan yang dikongsi Wan Na Man boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/937658915961289 - Getaran, 17 Julai 2026