KUALA LUMPUR - Nama Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jawatan tersebut kini diambil alih oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
“Jawatan Bendahari PN yang sebelum ini disandang oleh Muhammad Sanusi kini digantikan oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S. Subramaniam.
“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula digugurkan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam Perlembagaan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Samsuri berkata, penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu dilakukan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Perkara ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.
“Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi,” katanya. - Getaran, 18 Jun 2026

