KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan kes rogol berkumpulan membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai berlaku di sebuah rumah di Lahad Datu, Sabah bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 9 Mei ketika mangsa sedang tidur bersendirian di dalam biliknya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang suspek lelaki dipercayai memasuki bilik mangsa, sebelum diikuti tiga lagi suspek yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 20-an.
“Keluarga mangsa hanya mengetahui kejadian itu beberapa hari kemudian sebelum tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan segera dan berjaya mengesan serta menahan semua suspek yang dipercayai terlibat,” katanya.
Dzulbaharin berkata, empat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing.
“Semua suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, polis memandang serius kesalahan seksual terutama yang melibatkan kanak-kanak dan remaja serta akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti harian anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial dan menjadi mangsa jenayah.
“Saya menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial serta menjadi mangsa jenayah,” katanya. - Getaran, 17 Jun 2026

