KUALA LUMPUR - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau bakal beralih ke kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk terjun ke politik persekutuan kerana masih mempunyai tanggungjawab besar yang perlu diselesaikan di Johor.
“Jika diberi peluang, saya berbesar hati untuk terus berkhidmat kepada Bangsa Johor.
“Johor adalah tempat saya dan saya mahu terus menyumbang di sini. Itu kekal menjadi keutamaan saya,” katanya dalam satu sesi temu bual media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru hari ini.
Menurut Onn Hafiz, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negeri terus bergerak seiring dengan pelaksanaan visi Johor Maju 2030.
Beliau berkata, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Johor, meskipun pelbagai pencapaian telah direkodkan setakat ini.
“Setiap hari adalah hari untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita telah membina momentum pembangunan yang kukuh dan jika diberi mandat sekali lagi, kita akan terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan agenda Johor Maju 2030 kini berada di pertengahan jalan dan memerlukan kesinambungan pelbagai inisiatif bagi memastikan sasaran pembangunan negeri dapat dicapai sepenuhnya.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. - Getaran, 18 Jun 2026

