KUALA LUMPUR - Rakyat Johor diminta terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, mengambil kira rekod pencapaian kerajaan negeri sebagai asas pertimbangan utama.
Menteri Besar sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemajuan dicapai Johor ketika ini adalah hasil perancangan strategik dan kerjasama berpasukan yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, sebarang pertukaran pentadbiran berisiko menjejaskan kesinambungan pelaksanaan dasar serta projek pembangunan yang sedang berjalan.
“Kerajaan negeri telah memperoleh pengalaman dan kepakaran dalam menguruskan pelbagai inisiatif penting termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain berjaya mengukuhkan hubungan dua hala dengan Singapura serta menarik pelaburan dari China, Eropah dan Amerika Syarikat.
“Ini bukan masa untuk bereksperimen. Apa yang dicapai hari ini adalah hasil perancangan yang teliti dan usaha bersama seluruh pasukan pentadbiran,” katanya dalam temu bual khas bersama The Star di kediaman rasmi di Johor Bahru Rabu lalu.
Pada masa sama, Onn Hafiz menyifatkan, cubaan pihak lawan membangkitkan semula isu seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sentimen perkauman sebagai tidak membantu rakyat membuat penilaian yang matang mengenai masa depan Johor.
Sebaliknya, kata beliau, semua parti bertanding perlu mengemukakan pelan pembangunan yang jelas, calon Menteri Besar yang berwibawa serta penyelesaian praktikal terhadap cabaran semasa dihadapi rakyat ketika ini.
“Masyarakat mahu tahu apakah perancangan mereka untuk Johor dan siapa yang akan memimpin negeri ini sekiranya diberi mandat,” katanya.
Mengulas mengenai agenda kebajikan dan ekonomi negeri, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan manfaat daripada kemasukan pelaburan bernilai berbilion ringgit dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Antara inisiatif tersebut ialah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperkenalkan sebagai langkah jangka pendek bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Baucar Kasih Johor yang menawarkan makanan berkualiti pada harga mampu milik menerusi medan selera dikendalikan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata, program diinspirasikan daripada model serupa di Singapura itu sedang diperluaskan ke seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan di Johor, bagi menyediakan lebih banyak pilihan makanan yang bersih, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat.
“Di bawah projek perintis ini, setiap isi rumah yang layak akan menerima baucar bernilai RM200 untuk digunakan di premis makanan yang mengambil bahagian,” katanya.
Dalam aspek perumahan pula, Onn Hafiz menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperluaskan akses kepada rumah mampu milik, khususnya bagi golongan muda.
Beliau menarik perhatian, kira-kira 25,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina setakat ini dan kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 100,000 unit menjelang 2030.
“Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sewa tahunan sebanyak RM2,500 kepada pemohon yang layak serta sedang meneliti cadangan bantuan deposit sewa.
“Bagi pembeli rumah pertama pula, bantuan RM5,000 disediakan untuk menampung kos guaman dan perbelanjaan berkaitan, selain bantuan tambahan RM2,000 selepas mereka berpindah masuk ke kediaman masing-masing,” katanya.
Onn Hafiz berkata, keseluruhan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memperluaskan pemilikan rumah dan memastikan pertumbuhan ekonomi Johor dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat,” katanya. - Getaran, 19 Jun 2026
