KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang dilihat sebagai antara kerusi paling menarik untuk diperhatikan di Negeri Sembilan, kerana lanskap politik di kawasan itu tidak lagi berpaksikan kekuatan parti semata-mata.
Sebaliknya, pengaruh individu dan keupayaan seseorang pemimpin mendekati rakyat menjadi kriteria utama untuk menarik perhatian pengundi, sekali gus menentukan corak sokongan mereka.
Antara nama yang sering dikaitkan dengan perubahan tersebut ialah Datuk Seri Surash Sreenivasan, seorang tokoh yang berjaya membina pengaruh tersendiri melalui kerja lapangan dan aktiviti kemasyarakatan secara konsisten sejak hampir sedekad lalu.
Berbeza dengan kebanyakan ahli politik lain, Surash tidak muncul melalui laluan konvensional atau bergantung sepenuhnya kepada kekuatan sesebuah parti.
Beliau mula mencuri perhatian ramai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Jeram Padang.
Walaupun berdepan saingan gergasi politik lain, beliau berjaya meraih 2,640 undi, sekali gus membuktikan dirinya mempunyai sokongan akar umbi yang tersendiri.

Pencapaian itu dianggap signifikan kerana bukan mudah bagi seorang calon bebas untuk membina sokongan yang kukuh dalam pertandingan melibatkan parti-parti utama negara.
Lima tahun kemudian, Surash kembali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) dan sekali lagi menunjukkan peningkatan sokongan apabila memperoleh 4,769 undi.
Beliau bagaimanapun tewas tipis kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang memperoleh 5,462 undi untuk meraih majoriti 693 undi.
Jurang kemenangan yang kecil itu meletakkan Jeram Padang sebagai antara kerusi marginal yang berpotensi berubah tangan pada masa hadapan.
Apa yang membezakan Surash berbanding kebanyakan tokoh politik lain ialah pendekatan beliau yang lebih tertumpu kepada kerja kemasyarakatan.
Melalui pertubuhan N.NINE serta pelbagai program melibatkan pendidikan, pembangunan belia, kebajikan dan bantuan komuniti, beliau berjaya membina hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat.
Ramai anak muda, khususnya dalam komuniti India, melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati, sentiasa turun padang dan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
Hakikat bahawa jumlah undi yang diperoleh Surash meningkat dengan ketara daripada PRU14 kepada PRN 2023 juga memberi gambaran bahawa pengaruh peribadinya terus berkembang dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, DUN Jeram Padang mempunyai keunikan tersendiri kerana merangkumi kawasan FELDA, estet, kampung tradisional dan penempatan masyarakat pelbagai kaum.
Keadaan itu menjadikan hubungan akar umbi sebagai faktor yang sangat penting kerana mana-mana calon tidak boleh hanya bergantung kepada sentimen parti semata-mata.
Malah, Jeram Padang yang sebelum ini sinonim dengan MIC turut memperlihatkan perubahan apabila buat pertama kali dimenangi calon UMNO pada PRN 2023.
Perkembangan itu menunjukkan bahawa pengundi di kawasan berkenaan semakin bersifat dinamik dan terbuka untuk menilai prestasi seseorang individu berbanding kesetiaan tradisional kepada sesebuah parti.
Persoalan yang timbul kini ialah sama ada pengaruh peribadi yang dibina Surash sejak sekian lama mampu diterjemahkan kepada kemenangan sekiranya beliau sekali lagi diberi peluang bertanding pada masa hadapan.
Jika momentum sokongan yang dibina dapat dikekalkan, tidak mustahil Jeram Padang bakal muncul sebagai antara kerusi paling sengit di Negeri Sembilan.
Apa yang pasti, DUN Jeram Padang bukan lagi sekadar sebuah kerusi politik biasa, sebaliknya menjadi medan ujian sama ada politik berasaskan khidmat masyarakat mampu mengatasi kekuatan jentera parti tradisional yang sekian lama mendominasi landskap politik negeri.
Kerana pada akhirnya, pengundi bukan sekadar memilih lambang parti, tetapi memilih pemimpin yang sentiasa hadir bersama mereka. - Getaran, 18 Jun 2026

