KUALA LUMPUR - Kematian pelatih industri Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 23, disahkan berpunca daripada lemas.
Allahyarham sebelum itu terlibat dalam satu insiden di takungan Menara Air Saujana Perdana, Bandar Saujana Perdana pada 16 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, perkara itu disahkan menerusi siasatan awal polis serta laporan bedah siasat yang dijalankan pihak forensik.
Menurut beliau, susulan penemuan tersebut, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Mayat mangsa sebelum ini dihantar ke Unit Forensik Hospital Al Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian sebelum keputusan rasmi diperoleh.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin yang boleh menimbulkan kebimbangan awam atau mengganggu siasatan polis,” katanya hari ini.
Mohd Hafiz berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.53 pagi, 16 Jun lalu, sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa dari takungan berkenaan.
“Pasukan perubatan HASA kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya. - Getaran, 20 Jun 2026

