KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan pemandu sebuah Proton Iriz yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 2½, Jalan Meru, Klang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner P. Ramsay Embol berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, pemandu lelaki berkenaan dipercayai menukar lorong secara mengejut sebelum melanggar sebuah Perodua Kelisa yang dipandu seorang remaja berusia 18 tahun.
Menurut beliau, pemandu Perodua Kelisa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu Proton Iriz bertindak melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku.
“Pemandu Perodua Kelisa tidak cedera manakala pemandu Proton Iriz telah melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Sarjan Low Wee Hong di talian 017-674 7946.
Rakaman video kejadian yang dikongsi Cindy Chong di Facebook boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/872183309265574 - Getaran, 20 Jun 2026