KUALA LUMPUR - Empat individu maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku dalam tempoh kurang sejam di Pahang pada Sabtu, termasuk dua beradik perempuan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terlibat dalam nahas di Jalan Besar Jengka 19, Maran.
Mangsa dikenali sebagai Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 26 Jun ini, dan adiknya, Dinie Nasuha, 19.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 6.47 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka ditugaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati pemandu dan penumpang MPV tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, maklumat mengenai jumlah dan keadaan mangsa dalam kenderaan lain yang terbabit belum dapat dipastikan kerana orang awam telah membawa mereka ke pusat perubatan berhampiran sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Siasatan awal mendapati MPV yang dinaiki dua beradik itu sedang dalam perjalanan dari Jengka 19 menuju ke Bandar Pusat Jengka sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta.
Terdahulu, satu lagi kemalangan maut berlaku di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Chini, Pekan, membabitkan sebuah MPV, sebuah pikap dan sebuah kereta.
Mohd Salahuddin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pada jam 5.55 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chini digerakkan ke lokasi.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa dan mendapati pemandu kereta serta pemandu MPV meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan itu turut menyebabkan empat penumpang kereta, dua penumpang MPV dan pemandu pikap mengalami kecederaan,” katanya.
Kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut, iaitu lokasi sama bedah siasat dijalankan ke atas mangsa yang maut.
Siasatan awal mendapati, kereta dan MPV terbabit sedang dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kuantan sebelum bertembung dengan pikap yang datang dari arah bertentangan.
Identiti dua mangsa yang maut dalam nahas di Chini masih belum didedahkan pihak berkuasa.
Sementara itu, tragedi menimpa Dinie Hanis dan Dinie Nasuha mengundang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku hanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan Dinie Hanis yang semua persiapannya dikatakan telah siap sepenuhnya.
Saudara mangsa, Ahmad Samadi Ibrahim, 55, berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam selepas dimaklumkan oleh adiknya yang bekerja sebagai pemandu ambulans.
Menurutnya, Dinie Hanis baru pulang dari Kelantan untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan kepada saudara-mara sebelum meneruskan perniagaan makanan yang diusahakannya.
“Semua persiapan perkahwinan telah siap. Seluruh keluarga terkejut apabila menerima berita pemergiannya,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua beradik itu banyak membantu ibu mereka mengusahakan perniagaan makanan dan kuih tradisional di beberapa lokasi termasuk Bandar Pusat Jengka, Temerloh Jaya dan Simpang Jengka sejak kematian bapa mereka yang pernah bertugas sebagai pemandu di Pejabat Agama Temerloh.
Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau dalam suasana pilu yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan terdekat. - Getaran, 20 Jun 2026
