KUALA LUMPUR - Dialog yang tersusun dan diplomasi yang berterusan harus menjadi mekanisme utama dalam menangani konflik antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN dan Rusia perlu memperkukuh kerjasama strategik dalam suasana global yang semakin berpecah-belah.
Ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Anwar berkata, kestabilan global masa kini sedang berdepan tekanan besar susulan peningkatan persaingan geopolitik, kepesatan perubahan teknologi serta ketidaktentuan ekonomi makro, sekali gus menjadikan kerjasama antarabangsa sebagai satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.
“Malaysia kekal teguh berpegang kepada prinsip bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman yang mendalam dan penghormatan tinggi terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, hubungan ASEAN-Rusia pada era moden perlu melangkaui formaliti diplomatik tradisional dan memberi tumpuan kepada sektor-sektor berorientasikan masa depan, yang mampu menghasilkan manfaat ekonomi dan sosial kepada kedua-dua pihak.
“Selain isu politik, tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan teknologi moden demi manfaat bersama. Antara sektor strategik yang diberi keutamaan ialah perdagangan, pelaburan, sektor digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga, keselamatan makanan, industri halal serta pengukuhan hubungan antara rakyat.
“Sektor-sektor ini dilihat berupaya menjana impak dan manfaat yang lebih besar kepada semua negara anggota ASEAN dan Persekutuan Rusia,” katanya.
Menyentuh krisis di Asia Barat, Anwar menggunakan pentas pelbagai hala itu untuk menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan segera serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
“Malaysia menyeru agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta dan menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan mesti disampaikan tanpa sebarang sekatan, sambil terus mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan dan kedaulatan mereka sendiri,” katanya.
Anwar turut mengecam peningkatan operasi ketenteraan Israel ke wilayah Lubnan, khususnya serangan ke atas anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang disifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya peluasan tindakan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel ke Lubnan.
“Tindakan agresif rejim itu, termasuk serangan yang menyasarkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), adalah amat dikesali kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” katanya.
Beliau menambah, masih terdapat banyak peluang kerjasama yang belum diterokai antara ASEAN dan Rusia, dengan syarat hubungan masa depan dibina berasaskan saling menghormati, keadilan bersama serta komitmen teguh terhadap keamanan antarabangsa dan kestabilan ekonomi global. - Getaran, 18 Jun 2026
