KUALA LUMPUR - Seorang datuk berusia 67 tahun dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap dua cucu perempuannya yang masih kanak-kanak.
Mangsa yang masing-masing berusia 12 dan 9 tahun didakwa menjadi mangsa perbuatan keji tersebut di sebuah kediaman di Batu Pahat, Johor.
Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh, yang merupakan bapa kepada tiga orang anak dan hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pertuduhan pertama dan keempat menyatakan bahawa tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia 12 tahun.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama berusia 12 tahun di kediaman berkenaan antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Pertuduhan kelima pula menyatakan bahawa tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia sembilan tahun di lokasi sama tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling wajib sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Tertuduh juga diarahkan berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun sebaik sahaja dibebaskan dari penjara selaras dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. - Getaran, 19 Jun 2026

