KUALA LUMPUR - Seorang pengguna TikTok yang dikaitkan dengan kontroversi ketika bercuti di China baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf menerusi satu video yang dimuat naik di platform tersebut.
Menyedari video pendeknya terus menjadi perhatian ramai serta menerima kritikan daripada pengguna media sosial, Nur Asyiqin Mohd Dalil tampil memohon maaf secara terbuka, sekali gus mengakui tindakannya berlaku secara spontan dan merupakan satu kesilapan.
“Saya dengan rendah diri dan ikhlas ingin memohon maaf atas isu tular yang berlaku, iaitu kesilapan reaksi spontan saya ketika bercuti di China pada 15 Jun lalu.
“Saya memahami dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang telah menimbulkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.
“Saya menghormati pandangan, kritikan dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menghina, menjatuhkan maruah atau mencetuskan sebarang konflik kerana ketika itu ia hanyalah reaksi spontan yang tidak dirancang,” katanya menerusi akaun TikTok miliknya, @ekyn_wong.

Pada masa sama, Nur Asyiqin berkata, dia menerima setiap teguran yang diberikan dengan hati terbuka serta mengakui kesal atas tindakannya.
“Saya menyesali tindakan keterlaluan saya. Daripada insiden ini, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil dan lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat.
“Akhir sekali, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, beberapa video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan seperti “busuk” dan “tak mandi” ketika berada di kawasan awam di China.
Dalam rakaman tersebut, mereka turut dilihat sengaja menutup hidung, tindakan yang mengundang kecaman hebat daripada pengguna media sosial di Malaysia serta warga China.
Video berkenaan dilaporkan mendapat perhatian meluas di pelbagai platform media sosial dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat tempatan.
Video permohonan maaf Nur Asyikin boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/reel/1634625377645349 - Getaran, 20 Jun 2026