KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus memperhebat tekanan diplomatik terhadap Israel menerusi pelbagai platform antarabangsa dalam usaha menghentikan kekejaman berterusan di Palestin dan menyokong usaha keamanan yang lebih meluas di Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan terus memanfaatkan forum utama dunia termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS bagi mendapatkan sokongan antarabangsa terhadap tindakan Israel di rantau tersebut.
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Presiden baharu Perhimpunan Agung PBB, Khalilur Rahman dari Bangladesh, bagi menyelaraskan usaha diplomatik berterusan untuk memberi tekanan kepada Israel di peringkat global.
“Jika boleh, kita berharap memperoleh sokongan lebih daripada 140 negara dalam pengundian akan datang di PBB. Sokongan pada tahap itu akan menghantar mesej yang jelas kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan ke Lubnan, menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza serta menghentikan peluasan penguasaan di Tebing Barat yang diduduki.
“Itulah tekanan yang ingin kita berikan. Ini merupakan isu besar dan Malaysia mesti terus memainkan peranan diplomatik yang proaktif di PBB serta Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berhubung pendirian Malaysia dalam memastikan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, serta usaha diplomatik kerajaan untuk meredakan ketegangan serantau dan mengekalkan keamanan di laluan perkapalan strategik itu.
Mohamad memberitau, Malaysia ialah antara negara terawal menyokong memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran, bertujuan meredakan ketegangan di Selat Hormuz, yang kebelakangan ini berdepan ketidakstabilan.
Menurut beliau, kestabilan di salah satu laluan maritim paling penting di dunia itu amat penting bukan sahaja untuk pemulihan ekonomi global, malah demi ekonomi Malaysia sendiri.
Bagaimanapun katanya, Israel tidak mahu perkembangan positif tersebut berjaya dan cuba menggagalkan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Terdapat pihak yang cuba menggagalkan rundingan damai, termasuk di Lubnan, dengan terus melancarkan serangan bom ke atas negara itu. Apakah mesej yang dihantar? Mesejnya ialah mereka tidak mahu melihat keamanan tercapai di rantau ini,” katanya.
Mohamad turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya terus mengecam tindakan Israel bagi membantu memulihkan kestabilan di Asia Barat.
Dalam jawapan berasingan di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan mengenai pengurusan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), sambil menegaskan, dana tersebut diuruskan mengikut tatakelola yang ketat dan bantuan tidak disalurkan sewenang-wenangnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, AAKRP yang ditubuhkan di bawah Kementerian Luar Negeri diuruskan jawatankuasa khas dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, dengan setiap permohonan bantuan kemanusiaan melalui proses penilaian dan kelulusan yang teliti sebelum dana disalurkan.
“Setiap permohonan bantuan daripada dana ini diuruskan dengan baik. Dakwaan yang dibuat sebelum ini adalah tidak benar.
“Kita akan memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebab itu bantuan disalurkan terus kepada organisasi di lapangan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berhubung pengagihan dana kemanusiaan yang menjadi perdebatan di media sosial.
Mohamad turut mendedahkan, akses kemanusiaan ke Gaza kini semakin baik selepas sekian lama berdepan sekatan ketat, sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan Malaysia yang sebelum ini tertangguh mula memasuki wilayah tersebut melalui kerjasama dengan Mesir.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah menyalurkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan memandangkan banyak hospital di Gaza telah musnah akibat serangan berterusan.
“Keperluan paling mendesak ketika ini ialah ubat-ubatan dan peralatan perubatan kerana banyak hospital di Gaza telah musnah akibat serangan.
“Bantuan kemanusiaan Malaysia yang tertangguh sejak sekian lama kini sudah mula memasuki Gaza,” katanya. - Getaran, 23 Jun 2026

