KUALA LUMPUR - Semua Ahli Parlimen diingatkan agar tidak mengambil mudah kehadiran mereka sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, mana-mana Ahli Parlimen yang tidak dapat menghadiri sidang atas sebab tertentu perlu memaklumkan perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Setiausaha Dewan Rakyat mengikut peraturan yang ditetapkan.
Katanya, beliau difahamkan terdapat beberapa Ahli Dewan yang tidak dapat hadir atas faktor tertentu termasuk urusan rasmi, masalah kesihatan atau hal peribadi.
“Saya memohon agar mereka memaklumkan kepada Setiausaha atau kepada saya sekiranya tidak dapat menghadiri sidang Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam peraturan.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan rakyat menganggap wakil mereka tidak hadir semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, susulan pemergian suaminya, Datuk Kamil Misuari, Khamis lalu.
Beliau juga mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, dan isterinya yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Terdahulu, media melaporkan kenderaan dinaiki Zulkifli bersama isterinya terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sabtu lalu.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 5.20 pagi itu melibatkan Nissan Teana yang dipandu Zulkifli ketika beliau dan isterinya dalam perjalanan ke Selangor bagi menghadiri program Muslimat. - Getaran, 22 Jun 2026
