KUALA LUMPUR - Enam kenderaan termasuk lori dan kereta terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 31.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, antara Sedenak dan Kulai, pagi ini.
Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan berat serta kereta dijilat api, manakala asap hitam tebal kelihatan menjulang ke udara.
Impak perlanggaran itu turut menyebabkan kerosakan teruk kepada kenderaan yang terlibat.
PLUS Malaysia Berhad menerusi makluman trafik awal memaklumkan, kemalangan berlaku selepas Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai arah selatan.
“Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Lalu lintas dilaporkan terhenti sepenuhnya ketika pasukan kecemasan giat mengendalikan insiden berkenaan serta membersihkan laluan yang terjejas.
Semua lorong arah selatan masih ditutup sepenuhnya setakat ini.
Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut bagaimanapun masih belum dapat disahkan.
Video di lokasi kejadian dapat disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/1JT8M9QepH/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 23 Jun 2026