KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI akan melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem subsidi diesel negara bermula Julai 2026 menerusi pengenalan mekanisme pengesahan berasaskan MyKad di seluruh negara.
Serentak dengan itu, harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan usaha menyeragamkan pelaksanaan program subsidi diesel bersasar di seluruh negara, agar rakyat menikmati harga subsidi dan kaedah pembelian yang sama tanpa mengira lokasi.
Menurut beliau, sistem baharu itu mengguna pakai model pengesahan MyKad yang telah diperkenalkan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus membolehkan subsidi disalurkan secara terus kepada rakyat Malaysia ketika pembelian bahan api dilakukan di stesen minyak.
“Di bawah mekanisme tersebut, warga asing serta individu yang tidak layak menerima subsidi perlu membeli diesel pada harga pasaran tanpa subsidi,” katanya.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembaharuan itu dilaksanakan susulan ketidaktentuan berterusan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada bekalan minyak global.
Ia menuntut langkah lebih berkesan bagi memastikan bantuan kerajaan hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak.

Menurut kementerian itu, pendekatan subsidi bersasar dijangka mampu menangani isu ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang didorong oleh perbezaan ketara antara harga subsidi dan harga pasaran.
Ketika ini, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia berada pada paras RM4.37 seliter.
Menerusi sistem baharu tersebut, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan mengikut mekanisme nasional, sekali gus menamatkan akses kepada diesel bersubsidi bagi bukan warganegara.
Pada masa sama, pemilik kenderaan diesel rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan menikmati penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
MOF berkata, pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia akan mula berkuat kuasa pada Julai 2026 dan dilaksanakan melalui reformasi subsidi diesel bersasar berasaskan MyKad, yang selaras dengan pendekatan digunakan di bawah program BUDI MADANI RON95.
“Melalui reformasi ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga subsidi serta mekanisme pembelian yang sama di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan, perincian lanjut mengenai pelaksanaan reformasi subsidi diesel bersasar peringkat nasional akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok. - Getaran, 21 Jun 2026
