KUALA LUMPUR - Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti terus menjadi ancaman kesihatan utama negara dengan peningkatan jumlah pesakit yang semakin membimbangkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata, data kesihatan kebangsaan menunjukkan penyakit kronik masih berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan diabetes mellitus kekal sebagai penyakit tidak berjangkit paling tinggi direkodkan di negara ini.
Menurut beliau, data itu juga menunjukkan ramai rakyat Malaysia terjejas akibat penyakit tidak berjangkit.
“Diabetes mellitus merupakan penyakit paling lazim, dengan seorang daripada setiap enam rakyat Malaysia menghidap penyakit tersebut.
“Selain itu, seorang daripada tiga rakyat Malaysia mengalami tekanan darah tinggi, manakala kadar kolesterol tinggi turut menjejaskan seorang daripada tiga individu,” katanya ketika berucap pada program Kuching Sihat Run yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching, hari ini.
Menurut beliau, masalah berat badan berlebihan dan obesiti turut menjadi cabaran kesihatan awam yang semakin serius, didorong oleh gaya hidup tidak aktif dan kekurangan aktiviti fizikal.
“Seorang daripada dua rakyat Malaysia berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes, malah 54.4 peratus penduduk negara ini diklasifikasikan sebagai berlebihan berat badan atau obes. Angka ini menunjukkan cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha mengawal masalah berkaitan berat badan.
“Kira-kira seorang daripada dua individu juga tidak mengamalkan aktiviti sukan atau senaman secara berkala serta tidak menjalani gaya hidup aktif,” katanya.
Tegas Dr Veronica, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan hidup sihat perlu diteruskan secara berterusan, bagi mengurangkan risiko penyakit yang boleh dicegah serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat dalam jangka panjang.
“Program kesedaran dan galakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat sentiasa peka terhadap faktor risiko yang boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan, amalan hidup lebih aktif memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup, terutama ketika negara berdepan peningkatan penyakit kronik yang berkait rapat dengan pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan obesiti.
Program Kuching Sihat Run yang membawa tema “Sihat Itu Saya” berjaya menarik penyertaan seramai 1,849 peserta dalam kategori larian sejauh 3 kilometer, 5 kilometer dan 10 kilometer.
Acara tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Turut hadir Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Rudzaimeir Malek. - Getaran, 21 Jun 2026
