web statsweb stats

Berita Terkini

4 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 4 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Obesiti & Kerintangan Insulin: "Bom Jangka" Masalah Kesihatan

Malaysia merupakan antara negara dengan kadar obesiti dan diabetes tertinggi di Asia Tenggara, dan dewasa ini masalah itu turut dikesan dalam kalangan golongan muda, selain individu dengan berat badan normal atau kurus juga berisiko mengalami masalah itu atas pelbagai faktor termasuk genetik.

Refleksi Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 24 May 2026 2:13PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di sebalik trend masyarakat hari ini yang semakin terbuka terhadap kepelbagaian bentuk tubuh atau "body positivity", pakar perubatan mengingatkan berat badan berlebihan bukan sekadar isu penampilan, tetapi satu bentuk "bom jangka" bagi masalah rintangan insulin.

Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Endokrinologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norlaila Mustafa berkata penghidap obesiti berisiko tinggi mengalami keadaan itu apabila sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin.

Beliau berkata insulin diibaratkan sebagai "kunci" yang membuka "pintu" sel untuk membenarkan gula masuk ke dalam badan dan menghasilkan tenaga. Namun dalam keadaan rintangan insulin, kunci itu tidak lagi berfungsi dengan berkesan.

"Hampir 100 peratus orang yang hidap obesiti mengalami rintangan insulin, namun bukan bermakna pesakit itu ada diabetes. Sebaliknya, rintangan insulin adalah peringkat awal seseorang mendapat diabetes jika tidak dikawal.

"Rintangan insulin tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi terbina secara perlahan-lahan akibat faktor gaya hidup seperti pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal dan peningkatan berat badan," katanya ketika ditemui Bernama di HCTM baru-baru ini.

Dr Norlaila yang juga pensyarah di Unit Endokrinologi Jabatan Perubatan HCTM, berkata faktor emosi seperti tekanan perasaan atau stres dan gangguan waktu tidur turut menjadi penyumbang senyap kepada rintangan insulin.

Katanya stres meningkatkan hormon kortisol yang mengganggu metabolisme badan, manakala kekurangan tidur pula merangsang kenaikan berat badan.

"Lebih merisaukan, rintangan insulin turut menjadi pencetus komplikasi lain seperti penyakit jantung dan tekanan darah tinggi jika tidak dikawal," katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara negara dengan kadar obesiti dan diabetes tertinggi di Asia Tenggara, dan dewasa ini masalah itu turut dikesan dalam kalangan golongan muda, selain individu dengan berat badan normal atau kurus juga berisiko mengalami masalah itu atas pelbagai faktor termasuk genetik.

"Makanan berproses seperti nuget yang kerap diambil antara penyumbang kepada permasalahan ini kerana makanan diproses mengandungi lemak yang tinggi, dan sel lemak itu pula menghasilkan hormon yang menyebabkan kerintangan insulin," katanya.

Menyentuh tanda-tanda awal, Dr Norlaila berkata rintangan insulin sukar dikesan kerana lazimnya tidak menunjukkan simptom jelas yang menyakitkan.

Bagaimanapun, beliau berkongsi satu petanda fizikal yang sering disalah anggap oleh masyarakat, iaitu kesan kehitaman di bahagian leher, siku, buku jari atau celah lipatan badan yang dikenali sebagai acanthosis nigricans.

"Ramai sangka itu daki atau kulit kotor, tetapi sebenarnya ia antara tanda kerintangan insulin. Biasanya kita nampak pada individu yang mempunyai berat badan berlebihan," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menekankan kepentingan kembali ke asas gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal mudah seperti berjalan pantas sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

"Apapun kita kena amalkan hidup sihat dengan melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Tak semestinya kena makan sayur sahaja. Cuba kurangkan pengambilan makanan tinggi gula, garam serta makanan diproses," katanya. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Diabetes, Obesiti, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Krisis Penyakit Tidak Berjangkit Di Malaysia

2

Refleksi 1 bulan yang lalu

Salah Kendali, Simpan Daging Korban Undang Risiko Kesihatan

3

Refleksi 1 bulan yang lalu

Melontar Jamrah Didik Jemaah Tundukkan Ego, Utamakan Kepentingan Orang Lain

4

Refleksi 1 bulan yang lalu

Hari Arafah Ruang Umat Islam Perbanyak Doa, Zikir Dan Muhasabah Diri

Sorotan

1

Masa Depan Johor Dan M’sia Bergantung Kepada Generasi Berilmu, Bijaksana Dan Amanah - PM

2

Tun M Sambut Ulan Tahun Kelahiran Ke-101

3

Suspek Kes Tikam Rakan Sekolah Didakwa Di Mahkamah

4

‘Bakal Pemimpin Kerajaan Negeri Bebas Rasuah Jika PH Menang’ - Dr Maszlee

5

‘Hapuskan Politik Perkauman, Bila Islam Ajar Kita Hina Orang?’ - PM

6

PRN Johor: Lebih 300,000 Pengundi Luar Dijangka Pulang Mengundi