Ramai menyangka tirai Gerak Khas benar-benar sudah dilabuhkan apabila Gerak Khas: The Finale disiarkan pada 2021.
Selepas lebih 20 tahun menemani penonton Malaysia, drama kepolisan paling lama bertahan di negara ini dilihat menutup lembaran terakhirnya dengan penuh nostalgia.

Namun siapa sangka, lima tahun kemudian, francais yang pernah menjadi nadi drama aksi tempatan itu kembali bernyawa.
Kali ini bukan di TV3, sebaliknya di TVS yang mengambil langkah berani menghidupkan semula legasi tersebut menerusi Gerak Khas 2.0.

Keputusan itu boleh dianggap antara perkembangan paling mengejutkan dalam industri televisyen tempatan kerana jarang sekali sebuah siri yang sudah ‘ditamatkan’ diberi peluang kedua oleh penyiar lain.
Langkah itu juga membuktikan bahawa jenama Gerak Khas masih mempunyai nilai komersial dan sentimental yang cukup besar.
Sejak mula bersiaran pada 1999, siri arahan Datuk Dr. Yusof Haslam itu mencatat 20 musim dengan 1,054 episod, sekali gus diiktiraf sebagai drama waktu perdana paling lama bersiaran di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.

Bagi peminat setia, kepulangan siri ini bukan sekadar menjual nostalgia. Sebaliknya, ia tampil dengan formula yang lebih moden, mengangkat ancaman jenayah era digital yang lebih dekat dengan realiti semasa.
Jika dahulu penonton disajikan dengan operasi membanteras sindiket dadah, Gerak Khas 2.0 membawa penonton menyelami dunia serangan siber, penggodaman sistem komunikasi negara dan kewujudan sindiket berteknologi tinggi dikenali sebagai Black Hydra.
Di sebalik aksi mendebarkan dan operasi berisiko tinggi, Gerak Khas 2.0 turut menyelami konflik emosi watak-wataknya, khususnya perjuangan Inspektor Anding untuk melindungi adiknya, Erina, daripada terjerumus ke dalam dunia jenayah.
Gabungan konflik peribadi, pengkhianatan dalam pasukan, sabotaj dan musuh yang sentiasa selangkah di hadapan menjadikan setiap episod penuh debaran.

Menariknya, Datuk Dr. Yusof Haslam masih kekal sebagai tonggak utama menerusi watak DCP Datuk Helmi.

Turut menghiasi siri ini ialah Datuk Hans Isaac, Erra Fazira, C. Kumaresan dan Salina Saibi.
Dalam masa yang sama, siri ini turut memperkenalkan barisan pelakon generasi baharu seperti Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai, sekali gus mewujudkan kesinambungan antara peminat setia Gerak Khas dan generasi penonton masa kini.

Satu lagi pembaharuan yang mencuri perhatian ialah pemilihan Sarawak sebagai antara lokasi utama penceritaan. Buat pertama kalinya dalam sejarah Gerak Khas, Malaysia Timur bukan sekadar menjadi lokasi penggambaran, malah memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita, sekali gus memberikan dimensi visual yang lebih segar kepada siri tersebut.
Persoalan yang kini bermain di fikiran ramai ialah sama ada Gerak Khas 2.0 mampu mengulangi fenomena yang pernah dicipta siri asal atau sekadar bergantung kepada kekuatan nostalgia.

Apa pun jawapannya, satu perkara sukar dinafikan. Tidak banyak drama tempatan yang berjaya ‘bangkit daripada kematian’. Apabila sebuah penyiar lain sanggup mengambil alih dan menyambung legasi Gerak Khas, ia sudah cukup membuktikan pengaruh luar biasa francais ini dalam sejarah televisyen Malaysia.
Gerak Khas 2.0 bersiaran pada setiap Jumaat, jam 8.30 malam di TVS bermula 3 Julai lalu. - Getaran, 7 Julai 2026