KUALA LANGAT - Pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin lalu mengalami kecederaan pada paru-paru serta kira-kira 16 kesan tikaman di beberapa bahagian badan.
Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu selepas menerima beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah ketika sedang bekerja.
Menurutnya, pada mulanya beliau menyangka anaknya sekadar tidak sihat sebelum dimaklumkan bahawa remaja berusia 15 tahun itu menjadi mangsa tikaman.
“Ketika itu saya sedang menyusun barang dan tidak menyedari telefon berbunyi. Apabila saya menghubungi semula pihak sekolah, saya ingatkan anak saya hanya sakit, tetapi rupa-rupanya dia menjadi mangsa tikaman,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting.
Mohd Firuz yang bekerja sebagai pemandu penghantaran berkata, doktor memaklumkan terdapat pendarahan pada paru-paru kiri anaknya dan pasukan perubatan sedang menjalankan prosedur mengeluarkan darah daripada organ berkenaan.
“Setakat ini saya dimaklumkan pasukan perubatan sedang mengeluarkan darah daripada paru-paru kiri anak saya. Keadaannya stabil dan dia masih boleh bercakap,” katanya.
Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap insiden itu dan berharap pihak sekolah memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurutnya, suspek yang disyaki menikam anaknya merupakan bekas rakan sekelas mangsa ketika di Tingkatan Dua dan difahamkan telah lama tidak hadir ke sekolah kerana menjalani rawatan kesihatan.
“Saya rasa anak saya bukan sasaran sebenar suspek. Mungkin suspek mahu menyerang orang lain, tetapi anak saya berada paling hampir dan tidak sempat menyelamatkan diri, menyebabkan dia menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sebelum ini mengesahkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sekolah berkenaan telah ditahan polis.
JPN memaklumkan mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Banting.
Dalam perkembangan berkaitan, pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Getaran, 7 Julai 2026
