KUALA LUMPUR - Dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki hilang kawalan, sebelum merempuh sebuah surau di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Puteh awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an dan 50-an dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya sekitar jam 6.34 pagi, melibatkan mangsa yang tersepit.
"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah Honda CR-V yang membawa enam warga Indonesia, termasuk seorang lelaki, terlibat dalam kemalangan tersebut," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, empat lagi penumpang mengalami kecederaan dan kesemua mereka dipercayai mem. mempunyai hubungan kekeluargaan.
Operasi menyelamat dijalankan di lokasi kejadian, dengan mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Getaran, 5 Julai 2026
