KUALA LUMPUR - Rasional di sebalik pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) mencetuskan persoalan, susulan kaitannya dengan beberapa kontroversi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu menimbulkan kebimbangan memandangkan Azam sebelum ini dikaitkan dengan beberapa isu tidak menyenangkan, termasuk dakwaan membabitkan "mafia korporat" dan isu pemilikan saham.
Tegas beliau, persoalan tersebut perlu dijawab dengan kadar segera oleh kerajaan.
"Apabila saya ditanya pihak media, kini saya pula mengemukakan soalan itu bagi pihak media; apakah justifikasi melantik Tan Sri Azam sebagai penasihat NFCC sedangkan beliau masih dikaitkan dengan isu-isu yang sedang menjadi perhatian?" katanya.
Isu itu turut mendapat perhatian MCA yang mendesak kerajaan segera memberikan penjelasan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, pelantikan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika orang rama terus mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rangkaian "mafia korporat" yang dikaitkan dengan perkara berkenaan.
Dalam sidang media sama, Hamzah turut menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk kepada pertukaran kenyataan mereka sebelum ini berhubung pembatalan sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 di Johor.
"Ini adalah soalan daripada pihak media. Seperti Perdana Menteri pernah bertanya kepada saya sebelum ini, saya menjawab dengan cara yang sama; bagi pihak siapa? Bagi pihak media," katanya.
Tegas beliau, kerajaan perlu menjunjung prinsip ketelusan dalam menjelaskan setiap pelantikan dan keputusan dasar.
“Ini semua bagi mengelakkan spekulasi berterusan dalam kalangan Masyarakat “ katanya. - Getaran, 2 Julai 2026

