Syarikat penyelesaian robotik, Always Robots Sdn Bhd, secara rasmi memulakan operasinya di Malaysia dengan memperkenalkan rangkaian robot humanoid dan robot berkaki empat berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor industri.

Syarikat itu dilancarkan menerusi kerjasama strategik antara Always Marketing Shanghai, SparkRobot dan AGIBOT, yang menggabungkan kepakaran dalam pemasaran, teknologi robotik dan pembangunan AI berjasad (Embodied AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Always Robots, Patrick Goh berkata, penubuhan syarikat itu menandakan satu langkah penting dalam pembangunan industri robotik negara, selain menyokong usaha mempercepat penggunaan teknologi automasi pintar dalam kalangan perniagaan tempatan.
"Gabungan kekuatan ketiga-tiga rakan strategik ini membolehkan kami membangunkan ekosistem robotik yang lengkap. Kami bukan sekadar menawarkan robot, sebaliknya menyediakan penyelesaian automasi menyeluruh bagi membantu perniagaan meningkatkan produktiviti, memacu inovasi dan memperkukuh potensi tenaga kerja," katanya pada majlis pelancaran syarikat itu di KL Gateway Bangsar baru-baru ini.
Pada majlis itu, Always Robots turut memperkenalkan portfolio produk AGIBOT yang merangkumi robot humanoid Siri X dan Siri A serta robot berkaki empat Siri D.

Robot berkenaan dibangunkan menggunakan teknologi AI termaju yang membolehkannya mempelajari tugasan baharu, melaksanakan pergerakan kompleks dan berinteraksi dengan pengguna menerusi komunikasi suara.
Sebagai rakan pajakan rasmi produk AGIBOT di Malaysia, Always Robots menyasarkan beberapa sektor utama termasuk peruncitan, pendidikan, perkhidmatan komersial serta industri acara dan hiburan.
Bagi memperluaskan penggunaan robotik di negara ini, syarikat itu akan mengguna pakai model perniagaan hibrid yang menggabungkan jualan terus kepada pelanggan dengan rangkaian pengedar perniagaan (B2B).
Selain menawarkan skim pajakan yang fleksibel, pelanggan juga boleh memilih konsep sewa untuk memiliki (rent-to-own), di samping menikmati perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan selepas jualan.
Patrick berkata, permintaan terhadap penyelesaian automasi pintar di Malaysia terus meningkat sejajar dengan perkembangan pesat industri robotik.

Sehubungan itu, Always Robots merancang membuka bilik pameran utamanya di sekitar Kuala Lumpur bagi membolehkan pelanggan dan pemain industri melihat sendiri keupayaan teknologi robotik yang ditawarkan.
"Kami mahu memperluaskan penggunaan robot di Malaysia dan membangunkan ekosistem robotik pintar yang mampu meletakkan negara sebagai antara peneraju penggunaan AI di Asia Tenggara," katanya.
Majlis pelancaran itu turut menampilkan demonstrasi secara langsung keupayaan robot humanoid dan robot berkaki empat dalam melaksanakan pelbagai tugasan, termasuk interaksi menggunakan AI serta simulasi aplikasi dalam situasi sebenar.
Dalam pada itu, SparkRobot turut memperkenalkan peluang kerjasama perniagaan dan pelaburan kepada pengedar, rakan strategik serta pemain industri yang berminat menyertai ekosistem Always Robots.
Always Robots menyasarkan untuk mencapai keuntungan dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya, selain berhasrat menjadi antara penyedia penyelesaian robotik pintar terkemuka di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
AGIBOT ialah syarikat pembangunan AI berjasad yang membangunkan model asas kecerdasan buatan serta pelbagai platform robotik, termasuk robot humanoid, robot berkaki empat dan sistem robotik berketepatan tinggi.
Pada Mac lalu, syarikat itu mengumumkan pengeluaran robot ke-10,000 daripada barisan pengeluarannya. - Getaran, 1 Julai 2026