NARATHIWAT - Dua rakyat Malaysia cedera selepas sebuah bom buatan sendiri (IED) meletup di bawah pembetung di Lebuh Raya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, dari Sabah.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, berkata kejadian berlaku sekitar jam 11.41 pagi waktu Thailand, kira-kira 100 meter dari persimpangan tiga Sapom di laluan Narathiwat-Tak Bai.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia cedera apabila alat letupan buatan sendiri yang dipasang di bawah pembetung jalan meletup, ketika mereka melalui kawasan berkenaan.
“Ketika diselamatkan, kedua-dua mangsa masih sedar sebelum dihantar ke Hospital Narathiwat untuk menerima rawatan.
“Abdullah mengalami luka sepanjang dua sentimeter di dahi akibat serpihan bom, kecederaan parah pada kaki kiri sehingga menyebabkan kecacatan ketara serta kecederaan di kepala yang dipercayai berpunca daripada serpihan kaca,” katanya.
Muhammad Yusri pula jelas beliau, hanya mengalami kecederaan ringan.
Susulan kejadian, Prayong berkata, anggota keselamatan daripada tiga agensi menutup kawasan kejadian dan mengarahkan penutupan laluan sepanjang satu kilometer antara persimpangan Sapom hingga kawasan pusingan U berhampiran kuari pasir.
Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (EOD) bersama pegawai forensik turut dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan.
“Kenderaan berdaftar Malaysia yang dinaiki mangsa turut mengalami kerosakan akibat letupan tersebut.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian membabitkan rakyat Malaysia yang cedera dalam letupan bom berkenaan.
“Kami sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden itu,” katanya. - Getaran, 29 Jun 2026