Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah akan tetap menyanyi meskipun tiada gelaran diberikan kepadanya.
Jelas beliau, gelaran ‘Biduan Negara’ pastinya satu penghormatan, namun ia bukanlah sesuatu yang didambakan.
“Bagi saya, anugerah itu adalah ketentuan Tuhan. Kalau Allah nak beri, saya terima dengan hati yang terbuka.
“Jika tak ada pun tak apa, saya tetap akan menyanyi,” katanya dalam sidang media Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’ di ibu negara baru-baru ini.

Jamal berkata, apa yang lebih utama adalah namanya dikenang dengan tenang, sambil dibayangi rasa penuh nostalgia apabila beliau sudah tiada.
Mengakui itu yang paling penting buat dirinya, beliau berkata, beliau mahu semua lagunya menyentuh hati pendengar setiap kali ia berkumandang di udara.
“Saya nak orang kenang saya dengan rasa tenang, nostalgia, dan menyentuh hati apabila mendengar lagu saya.
“Itu yang paling penting buat saya,” katanya.
Pernah membintangi beberapa filem seperti Azura, Tuah, Kekasih Awal dan Akhir dan Sejati, Jamal memgakui pernah terdetik untuk bersara.
“Dari satu segi, ada masa-masanya saya fikir untuk bersara.
“Bila di pentas dan saya tak dapat mencapai standard saya, itu adalah petanda bahawa saya perlukan berehat atau mempertimbangkan untuk bersara,” katanya.
Menerusi sidang media sama beliau memberitahu, dirinya sedang meneruskan rakaman beberapa lagu baharu.
“Selepas tamatnya rakaman konsert ini, saya akan teruskan rakaman untuk beberapa lagu baharu.
“Kami dah bersedia untuk rekod satu single baru berjudul ‘Ihtilam’,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ini adalah kali pertama perbadanan itu mengadakan konsert rakaman secara langsung (Live) selama 13 hari berturut-turut.
Menurut beliau, pencapaian menakjubkan itu adalah kali pertama diadakan selepas fasiliti berkenaan dinaik taraf dengan teknologi baharu, iaitu Virtual Production yang biasa digunakan untuk penggambaran filem.
“Tahun ini, banyak juga penggambar filem dan iklan telah menggunakan fasiliti kami ini. Ini merupakan satu kejayaan bersama antara pihak FINAS dan para penerbit.
“Ini juga merupakan satu titik permulaan bagi pihak FINAS di mana kami telah mengadakan kolaborasi seperti ini buat kali pertama dalam sejarah penubuhan Virtual Production di sini,” katanya.

Sekadar info, Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’ ialah sebuah program 13 episod yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan mesej keselamatan dalam talian.
Program ini menampilkan Jamal, di samping artis-artis jemputan termasuk dua anak lelakinya, Osama Yamani dan Zaki Yamani, bagi menyampaikan mesej keselamatan digital melalui pendekatan santai dan berunsurkan hiburan, sekali gus menjadikannya lebih dekat dan mudah diterima oleh pelbagai lapisanmasyarakat.
Inisiatif ini hadir ketika cabaran dunia digital semakin kompleks, dengan peningkatan kes penipuan dalam talian, ancaman keselamatan siber serta penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan kepadapelbagai lapisan masyarakat.
Wanita dan warga emas antara paling terdedah, sekali gus menuntut pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan dekat dengan realiti kehidupan.
Seiring itu, pelaksanaan kempen kesedaran seperti Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperkukuh melalui pendekatan kandungan kreatif bagi memastikan mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Melalui format bersiri, penonton disajikan dengan gabungan perkongsian pengalaman, nasihat praktikal serta persembahan muzik, menjadikan kandungan yang menghiburkan serta membawa pengajaran berkaitan penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Program ini disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2 selama 13 minggu berturut-turut bermula pada Julai depan, dalam usaha memastikan capaian mesej keselamatan digital kepada khalayak yang lebih meluas. - Getaran, 27 Jun 2026