KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing seawal minggu depan bagi menangani isu berkaitan penggajian pekerja asing merentas sektor utama termasuk industri makanan dan minuman.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, dan jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, jawatankuasa itu diberi mandat meneliti isu yang dibangkitkan industri yang bergantung kepada tenaga kerja asing serta mengenal pasti penyelesaian praktikal secara bersepadu.
“Objektifnya adalah untuk memastikan isu melibatkan pekerja asing dapat diurus dan diselesaikan dengan berkesan. Bagi sektor yang telah membangkitkan perkara ini, kita akan menunggu dapatan jawatankuasa tersebut,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata kerajaan masih meneliti cadangan berkaitan pelarian Rohingya susulan beberapa siri mesyuarat penyelarasan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi penguat kuasa.
Katanya, perbincangan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor serta beberapa agensi lain.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan KDN menyelaras dan meneliti syor yang dikemukakan bersama kementerian berkaitan termasuk Kementerian Luar serta agensi penguat kuasa.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan sebarang tindakan pada masa hadapan, termasuk berkaitan pendaftaran, penguatkuasaan dan isu lain melibatkan pelarian Rohingya, dapat dilaksanakan secara seragam oleh semua agensi serta pihak berkuasa tempatan.
“Buat masa ini tiada sebarang keputusan muktamad. Perbincangan masih berjalan dan akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan, Jemaah Menteri telah memilih tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, dengan logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai lambang rasmi sambutan tahun ini.
Beliau berkata, tema itu mencerminkan aspirasi kerajaan untuk membina sebuah negara yang inklusif, progresif dan harmoni, dengan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Fokusnya adalah memastikan kesejahteraan bukan hanya dinikmati oleh kelompok tertentu, tetapi oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pelbagai program akan diadakan di seluruh negara sepanjang Bulan Kebangsaan dalam suasana sambutan yang meriah namun sederhana, selaras dengan pendekatan kerajaan.
Beliau turut mengesahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Putrajaya.
“Ia akan menjadi sambutan yang lebih sederhana tetapi tetap meriah. Akan ada beberapa kelainan untuk tatapan orang ramai, namun masih terlalu awal untuk didedahkan,” katanya. - Getaran, 26 Jun 2026

