KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mengumumkan barisan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menggabungkan pemimpin berpengalaman, bekas wakil rakyat serta muka baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan gabungan itu menjelang hari pengundian 11 Julai ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertaruhkan 16 calon, dengan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan semua calon dipilih selepas melalui proses saringan yang ketat.
Menurut beliau, Bersatu memiliki ramai calon berpotensi dan pelbagai proses tapisan dilakukan, termasuk semakan dengan Jabatan Insolvensi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum sesuatu nama itu disenaraikan.
Antara calon yang mencuri perhatian ialah bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang akan bertanding di kerusi Senggarang menentang calon PKR, Onn Abu Bakar.
Kedua-duanya pernah berdepan di kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bersatu turut mempertaruhkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bagi mempertahankan kerusi Bukit Kepong, manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Abdul Mutalip Abd Rahim yang baru meninggalkan parti itu akan bertanding di Layang-Layang atas tiket PN.
Turut menjadi perhatian ialah pasangan bapa dan anak, Rasman Ithnain dan Mohamad Alias Rasman yang masing-masing akan bertanding di kerusi Sedili serta Panti.
Calon lain ialah Fairulnizar Rahmat (Penawar), Aisah Esa (Johor Lama), Lim Chin Eng (Stulang), Muhamad Amerul Muhamad (Tenggaroh), Sye Mohamad Syed Alwi (Rengit), Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja), Muhammad Syafiq Aziz (Semarang), Mohd Radzi Amin (Bukit Naning), Mahfidz Omar (Serom), Uzzair Ismail (Kemelah) dan Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (Bukit Pasir).
Sementara itu, PAS mengumumkan 11 calon dengan sembilan daripadanya merupakan muka baharu, sejajar usaha parti itu menyegarkan barisan wakil rakyat di samping mengekalkan beberapa calon berpengalaman.
Antara calon diketengahkan ialah bekas ADUN UMNO Puteri Wangsa, Mazlan Bujang bersama Saifullah Abdul Wahab (Jementah), Arshed Yahya (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Saillan @ Sazali (Sungai Balang), Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan).
Mazlan (Kahang), Hasnul Hakimi Hussien (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja), Khirul-Muntanazar Ismail (Tiram), Normala Sudirman (Tenang) dan Halim @ Othman Kepol (Semerah).
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemilihan calon dibuat selepas mengambil kira dinamika politik tempatan serta kekuatan di setiap kawasan.
Beliau berkata, terdapat calon yang pernah bertanding tetapi diletakkan di kawasan berbeza pada PRN kali ini.
"PAS memutuskan untuk bertanding di 11 kerusi selepas menilai kesesuaian dan potensi kemenangan di setiap kawasan, memandangkan landskap politik kini berbeza berbanding empat atau lima tahun lalu.
"Kami akan menggunakan logo PN sepanjang kempen, begitu juga Bersatu," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengesahkan akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan tiket PN, sekali gus menandakan penyertaan sulung parti itu dalam pilihan raya sejak penubuhannya.
Presidennya, P. Punithan menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam perkembangan politik MIPP.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah, MIPP akan bertanding dalam pilihan raya di bawah panji Perikatan Nasional.
“Langkah itu mencerminkan perkembangan parti serta keyakinan kepimpinan PN terhadap kemampuan MIPP untuk bekerjasama dalam membawa Johor ke arah masa depan yang lebih baik.
“Semua calon MIPP dipilih berdasarkan merit serta rekod khidmat kepada masyarakat,” katanya.
MIPP akan bertanding di Bukit Permai menerusi M. Lina Manoh, Paloh (DS Jeevakumar), Kota Iskandar (S. Anna Pravina), Pemanis (Dr A. Arvind) dan Permas (T. Vela), dengan kesemua lima calon berusia antara 27 hingga 41 tahun. - Getaran, 26 Jun 2026
