KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Haim Hilman Abdullah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kebimbangan ramai berhubung kenyataannya mengenai sistem kemasukan ke universiti awam.
Haim Hilman, 53, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja menimbulkan ketakutan atau kebimbangan dalam kalangan orang ramai, dengan mendakwa universiti awam menjual tempat kepada golongan kaya.
Haim turut mendakwa puluhan ribu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi melalui laluan “pintu belakang”.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Jun 2026, antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Ibu Pejabat PAS Seremban.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574], yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Harun mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport tertuduh kepada mahkamah.
Peguam bela tertuduh yang diketuai Mohd Fauzi Che Abu, membantah jumlah jaminan tersebut dengan alasan ia bersifat menghukum dan tidak munasabah, serta mencadangkan jaminan RM5,000.
Pihak pembelaan turut membantah syarat tambahan yang meminta tertuduh menyerahkan pasportnya.
Menurutnya, penyerahan dokumen perjalanan antarabangsa itu akan mengganggu tugas serta amanah Haim Hilman sebagai Exco dan ADUN yang sering melakukan perjalanan rasmi ke luar negara bagi urusan kerajaan negeri Kedah.
Beliau turut menyatakan bahawa tertuduh hadir ke mahkamah secara sukarela bagi membersihkan namanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan, dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen pada 30 Julai.
Terdahulu, Haim Hilman dalam satu ceramah awam di Ibu Pejabat PAS Seremban pada 13 Jun mendakwa, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan hak 30,000 pelajar yang layak akibat amalan tidak telus serta kewujudan elemen “pintu belakang”.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kemudian dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut, termasuk kononnya IPTA menjual tempat kepada kumpulan tertentu. - Getaran, 25 Jun 2026

