KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya yang didakwa menghina penduduk tempatan ketika berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan yang dijalankan bukan sahaja tertumpu kepada aspek pelanggaran tatatertib, malah turut melibatkan kemungkinan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.
“Kita sedang menjalankan siasatan dan telah membuka siasatan tatatertib terhadap anggota berkenaan.
“Kita juga akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kesalahan lain yang melanggar undang-undang,” katanya hari ini.
Beliau turut mengingatkan seluruh warga PDRM supaya sentiasa menjaga akhlak, disiplin serta imej pasukan sama ada ketika bertugas di dalam mahupun luar negara.
“Sebagai anggota beruniform, kita terikat dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kita perlu menjaga tingkah laku pada setiap masa, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga ketika berada di luar negara,” katanya.
Mohd Khalid berkata, PDRM akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang keputusan atau tindakan lanjut diambil terhadap anggota terbabit.
“Kita akan memberikan keadilan sewajarnya dan siasatan akan dijalankan mengikut SOP serta undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pempengaruh yang juga anggota polis tular di media sosial selepas didakwa menghina penduduk tempatan dengan menjerit perkataan tidak sopan sambil menutup hidung ketika berada di sebuah lokasi awam di China.
Kontroversi itu turut mendapat liputan meluas media luar negara dan mencetuskan kemarahan orang ramai, termasuk masyarakat tempatan di negara berkenaan. - Getaran, 23 Jun 2026
